Oleh Nurhafizah Tan
KANGAR, 29 Sept (Bernama) -- Bermula dengan kira-kira 1,000 pokok nipah di kawasan paya lecak seluas 0.3 hektar, seorang pengusaha tempatan kini berjaya mengubah tanah yang sukar diusahakan itu menjadi lokasi gastronomi yang mengetengahkan nira dan warisan tradisional masyarakat Melayu.
Projek yang diasaskan oleh Jamaludin Abd Rahman, 63, di Kampung Bunga Emas Barat di sini, bermula pada 2019 selepas beliau mendapati kawasan berkenaan sukar diusahakan untuk tanaman padi berikutan struktur tanahnya yang berlumpur, dalam dan mudah terbenam (jerelus).
"Dahulu kawasan ini tanah paya terbiar, kalau lalu memang boleh terhenyak dan terbenam, jadi jentera seperti traktor atau mesin padi memang tidak dapat masuk.
“Pada awalnya saya cuma korek kolam untuk memelihara ikan keli, tetapi memikirkan potensi tanah ini, saya ambil keputusan menanam kira-kira 1,000 pokok nipah secara berperingkat," katanya kepada Bernama pada Program Lawatan Media Cuti-cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis anjuran Tourism Malaysia.
Daripada jumlah awal itu, tanaman kini berkembang kepada lebih 5,000 pokok, sekali gus membuka peluang kepada bapa kepada enam anak ini untuk memanfaatkan kawasan yang sebelum ini sukar diusahakan sebagai sumber ekonomi baharu.
Jamaludin yang berasal dari Jerlun,Kedah dan juga seorang pelukis, berkata pokok nipah memerlukan masa sekitar lima tahun untuk membesar sebelum mampu menghasilkan nira.
Menurutnya, proses mendapatkan nira nipah memerlukan kemahiran dan petua tradisional yang kini semakin kurang diketahui umum.
Proses itu memerlukan ketelitian menerusi kaedah seperti melilit, membalut dan “mengetuk” tangkai atau pelepah nipah mengikut tempoh dan ritma tertentu bagi membolehkan cecair manis tersebut menitis keluar untuk ditadah.
"Ramai menganggap musim hujan akan menghasilkan lebih banyak air, tetapi sebaliknya nira nipah mengalir paling banyak dan rasanya lebih pekat serta sedap sewaktu musim kemarau. Ini kerana sistem akarnya yang jauh di dalam tanah membolehkan tumbuhan itu menyerap sumber air dari dasar walaupun permukaan tanah mengering," katanya.
Selain nilai ekonomi, penanaman nipah di kawasan berkenaan menurut Jamaludin turut memainkan peranan dalam pemuliharaan ekosistem paya, antaranya membantu mengikat struktur tanah lecak dan mencegah hakisan tebing, selain bertindak sebagai benteng semula jadi untuk menahan limpahan air.
Hasil nipah itu bukan sekadar nira segar, sebaliknya pelbagai bahagian pokok berkenaan seperti daun turut digunakan secara tradisional oleh masyarakat kampung untuk membuat atap dan rokok daun, sekali gus membantu mengekalkan warisan Melayu silam.
Di Nipah Klasik, hasil dan suasana persekitaran nipah pula diterjemahkan kepada pengalaman gastronomi menerusi pelbagai sajian tempatan seperti popiah, keropok lekor dan otak-otak ikan yang boleh dinikmati bersama-sama dengan nira nipah.
Restoran yang diusahakan bersama-sama dengan keluarganya itu turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati sajian dalam suasana dikelilingi pokok nipah, selain menyaksikan demonstrasi proses tradisional penyadapan nira.
Menurutnya, inisiatif itu membuktikan kawasan paya yang tidak sesuai untuk pertanian komersial biasa masih berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai aset alam sekitar, pemelihara warisan dan pemangkin ekonomi tempatan apabila diuruskan secara lestari.
-- BERNAMA