Am 10/08/2026 06:42 PM

PTV 3.0: Lebih 1.9 Juta Baucar Belum Ditebus, Tarikh Akhir 31 Ogos

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PTV 3.0: Lebih 1.9 Juta Baucar Belum Ditebus, Tarikh Akhir 31 Ogos

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Industri insurans dan takaful menggesa penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak, supaya menebus baucar RM30 mereka selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini sebelum program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0, berakhir dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Inisiatif awam-swasta, dilancarkan pada 1 Sept 2025 mengikut Belanjawan 2025, itu bertujuan meringankan beban kewangan dan meningkatkan keterangkuman kewangan isi rumah berpendapatan rendah, namun data menunjukkan lebih 1.9 juta baucar masih belum ditebus, mendorong pemimpin industri menggesa langkah segera.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Mark O’Dell memuji dan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan, kerana memperjuangkan perlindungan kewangan demi rakyat Malaysia.

“Kami memuji kerajaan dan Kementerian Kewangan atas usaha berterusan meningkatkan akses kepada perlindungan insurans dan takaful yang mampu milik untuk rakyat Malaysia. Hanya tinggal beberapa minggu lagi, justeru kami menggesa semua penerima STR yang layak supaya tidak melepaskan peluang ini.

“Tebus baucar RM30 anda sebelum 31 Ogos 2026 dan ambil langkah penting ke arah mendapatkan perlindungan yang berpatutan untuk diri sendiri dan orang tersayang. Jangan tunggu sehingga saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CEO Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Mohd Radzuan Mohamed turut senada dengan O’Dell, dan berkata inisiatif PTV 3.0 membantu memacu agenda perlindungan Malaysia, dengan menggalakkan kesedaran dan pembelian perlindungan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bagi industri takaful, inisiatif sedemikian melengkapi usaha berterusan kami untuk menggalakkan individu dan keluarga, menjadikan perlindungan sebagai sebahagian penting dalam perancangan kewangan dan lebih bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup.

“Ini mendorong daya tahan kewangan yang lebih kukuh dalam kalangan isi rumah Malaysia, terutama ketika tempoh yang mencabar,” katanya.

Sementara itu, CEO Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Chua Kim Soon berkata mengikut program PTV 3.0, lima produk Kemalangan Peribadi daripada ahli PIAM tersedia untuk penerima STR yang layak, menawarkan pelbagai pilihan perlindungan pada harga berpatutan.

“Bekerja tidak semestinya bermakna kita dilindungi sepenuhnya daripada akibat kewangan, susulan kemalangan. Kecederaan boleh mengakibatkan perbelanjaan perubatan, cuti daripada kerja dan komitmen kewangan yang berterusan walaupun ketika individu itu tidak dapat bekerja.

“Perlindungan Kemalangan Peribadi diwujudkan untuk menyediakan manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal dan elaun tunai hospital, antara lain yang boleh melengkapkan perlindungan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata semua penerima yang layak digalakkan menebus baucar masing-masing dan mengambil langkah proaktif ke arah melindungi diri sendiri dan orang tersayang.

Penerima STR yang layak boleh menebus baucar masing-masing dalam beberapa langkah mudah, dengan menyemak kelayakan terlebih dahulu melalui portal PTV di www.myptv.my.

Penerima manfaat boleh meneroka produk Perlindungan Tenang yang tersedia di www.mycoverage.my, dengan syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian memberikan maklumat mengenai ciri dan manfaat produk, sebelum membuat plihan mereka dan menebus baucar dalam talian.

Sebagai alternatif, penerima juga boleh pergi ke mana-mana cawangan syarikat yang mengambil bahagian, pengendali takaful atau ejen yang diberi kuasa untuk memproses penebusan mereka secara peribadi.

Pihak syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian boleh layari www.myptv.my atau www.mycoverage.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Program ini disokong oleh Malaysian Reinsurance Bhd, Insurance Services Malaysia Bhd (ISM), LIAM, MTA dan PIAM.

-- BERNAMA