KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memperkukuh peranannya dalam penyampaian maklumat bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sebagai agensi berita nasional di bawah Kementerian Komunikasi, Bernama turut bertanggungjawab menyokong serta menghebahkan program dan inisiatif kementerian kepada masyarakat.
“Bagi saya, Bernama sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi, kita bertanggungjawab untuk menghebahkan, menguar-uarkan dan memastikan apa-apa juga program di bawah Kementerian Komunikasi turut dilaksanakan oleh Bernama dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Bernama di Wisma Bernama, hari ini.
Beliau berkata usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja turut diteruskan menerusi beberapa inisiatif bersempena dengan Bulan Kebangsaan, termasuk menggalakkan mereka mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kediaman masing-masing.
“Sejurus selepas peluncuran Bulan Kebangsaan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di Ipoh, Perak baru-baru ini, kita terus menghias premis kita dengan Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan terhadap kempen berkenaan.
“Pada masa yang sama, kita menggalakkan warga kerja kita untuk mengangkat tema menghias Jalur Gemilang, iaitu ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’,” katanya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang oleh Nur-ul Afida kepada wakil setiap jabatan utama Bernama sebagai simbolik menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, selain memperkenalkan lagu tema Hari Kebangsaan yang digubah oleh penyanyi Faizal Tahir.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan turut memberikan peluang kepada warga kerja Bernama untuk bersama-sama menghayati dan menyemarakkan semangat sambutan Bulan Kebangsaan.
“Memang bukan mudah untuk kami mengumpulkan kesemua petugas di ibu pejabat, jadi kita rangkumkan semua program ini dan diakhiri dengan kempen Kibar Jalur Gemilang,” katanya.
-- BERNAMA