KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Malaysia bersedia memperluas dan memperkukuh kerjasama pertahanan yang lebih substantif bersama-sama Iran berasaskan hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu disampaikan beliau menerusi perbualan telefon dengan Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Republik Islam Iran, Brigadier Jeneral Seyed Majid Ebn-e-Reza.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata Malaysia turut berharap Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi untuk memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.
“Saya turut mengalu-alukan penyertaan Iran dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) tahun hadapan sebagai platform untuk memperluas hubungan dan meneroka kerjasama pertahanan yang lebih luas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan ucapan takziah Malaysia atas pemergian para pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat Iran yang terkorban dalam konflik yang berlaku di Asia Barat.
Beliau berkata Malaysia berharap gencatan senjata dapat dikekalkan dan penyelesaian melalui dialog serta diplomasi terus diberi ruang demi keamanan dan kestabilan rantau, selain menyifatkan Iran telah memperlihatkan daya tahan termasuk melalui keupayaan pertahanan yang dibangunkan sendiri.
“Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik Iran dalam memudah cara laluan sepanjang tempoh konflik. Keselamatan laluan maritim termasuk di Selat Hormuz perlu terus terpelihara,” katanya.
-- BERNAMA