Ekonomi 10/08/2026 11:39 PM

TH Disaran Umum Prestasi Kewangan Setiap Suku Tahun Seperti KWSP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TH Disaran Umum Prestasi Kewangan Setiap Suku Tahun Seperti KWSP
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) disaran mengumumkan prestasi kewangan dan pelaburannya setiap suku tahun seperti dilaksanakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai antara langkah memperkukuh ketelusan dan meningkatkan keyakinan pendeposit.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pendekatan itu akan membolehkan pendeposit mengikuti dan menilai prestasi kewangan TH secara berkala, selain mendapat gambaran lebih jelas mengenai pengurusan dana institusi berkenaan.

“KWSP kalau kita lihat setiap suku (tahun), mereka akan membuat satu pengumuman mengenai prestasi dana mereka, kemudian berapakah pendapatan pelaburan telah dicapai.

“Kemudian dari segi operasinya pula, berapakah jumlah pencarum baharu, majikan yang baharu mencarum dan sebagainya diumumkan. Jadi, mungkin ini perkara yang boleh diadaptasikan oleh pihak Tabung Haji bagi menggalakkan lagi ketelusan itu lebih terjamin,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk RCI Tabung Haji dan Impak Kepada Negara, hari ini.

Mohd Afzanizam berkata perkongsian maklumat yang lebih konsisten juga penting dalam membina keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.

“Semakin banyak maklumat yang dikongsi secara konsisten, saya berpendapat naratif untuk meningkatkan keyakinan terhadap Tabung Haji itu dapat dibina seperti yang telah dapat ditunjukkan oleh pihak KWSP sendiri,” katanya.

Beliau berkata keyakinan terhadap TH penting memandangkan institusi itu mempunyai kira-kira 9.8 juta pendeposit serta mempunyai kaitan dengan sistem kewangan dan pasaran modal negara.

TH, seperti syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, merupakan antara pemain utama dalam pasaran modal termasuk pasaran bon dan saham, yang turut mempunyai hubungan dengan sistem perbankan, katanya.

“Jadi, maksudnya keupayaan Tabung Haji untuk mengumumkan dividen itu semakin mengukuh sebenarnya,” katanya lagi.

Pada 29 Julai lepas, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH mengeluarkan laporan setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 sehingga 2020.

Satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos (esok) bagi membahaskan laporan berkenaan. 

-- BERNAMA