Dunia 11/08/2026 12:03 AM

Laluan Kapal Di Selat Hormuz Merosot Pada Hujung Minggu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Laluan Kapal Di Selat Hormuz Merosot Pada Hujung Minggu
Foto: REUTERS

ISTANBUL, 10 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Trafik maritim melalui Selat Hormuz merosot dengan ketara sepanjang hujung minggu apabila jumlah lintasan kapal yang disahkan menurun daripada 15 pada Jumaat kepada 11 pada Sabtu dan enam pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sebanyak 32 kapal melalui laluan strategik itu antara 7 hingga 9 Ogos, dengan pergerakan masih tertumpu pada laluan tertentu, termasuk 17 pelayaran menerusi Laluan Sehala Iran (Iranian Unilateral Scheme), manakala 10 lagi diklasifikasikan sebagai laluan tidak dapat dipastikan, menurut syarikat pemantauan maritim MarineTraffic pada Isnin.

Sementara itu, Selat Bab el-Mandeb mencatatkan aktiviti yang jauh lebih tinggi dengan 116 lintasan disahkan dalam tempoh tiga hari yang sama.

Pergerakan harian kapal di Selat Bab el-Mandeb kekal agak stabil, dengan 43 lintasan direkodkan pada Jumaat, 37 pada Sabtu dan 36 pada Ahad.

Kebimbangan berhubung gangguan Sistem Pengenalpastian Automatik (AIS) di sepanjang laluan itu turut berterusan apabila pengendali merekodkan 12 pelayaran tanpa isyarat sepanjang hujung minggu.

Sabtu menyaksikan peningkatan aktiviti berisiko di laluan perairan itu, termasuk 10 lintasan yang dikenakan sekatan dan lapan pelayaran tanpa isyarat.

-- BERNAMA-ANADOLU