Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif & Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Isnin apabila para pelabur kebanyakannya tidak memasuki pasaran serta mengambil pendirian tunggu dan lihat di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan perkembangan geopolitik.
Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.38 mata kepada 1,735.37 berbanding paras 1,735.75 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks utama itu dibuka 0.10 mata lebih tinggi kepada 1,735.85 dan berlegar antara paras 1,730.35 hingga 1,738.97 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 707 berbanding 447, manakala 573 kaunter tidak berubah, 1,046 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.49 bilion unit bernilai RM2.55 bilion daripada 3.55 bilion unit bernilai RM3.47 bilion pada Jumaat.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata para pelabur kekal berhati-hati walaupun jangkaan semakin baik terhadap dasar monetari AS yang kurang ketat disebabkan data pasaran buruh AS yang lebih lemah.
"Penurunan sederhana di bursa mencerminkan sesi dagangan yang kebanyakannya seimbang apabila para pelabur menjangkakan kadar faedah yang lebih rendah berbanding tekanan baharu daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi dan ketidaktentuan yang berterusan di sekitar Selat Hormuz.
"Pada masa ini, penurunan kecil FBM KLCI menunjukkan para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat berbanding mengambil risiko besar," kata beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata harga minyak mentah yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan boleh menyebabkan turun naik pasaran dalam tempoh terdekat.
"Bagaimanapun, keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan dan aktiviti pembelian saham wajaran tinggi terpilih yang berterusan sepatutnya memberi sokongan kepada indeks petunjuk pasaran.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dengan kecenderungan menaik sedikit dalam julat antara 1,725 hingga 1,750 pada minggu ini memandangkan para pelabur kekal selektif dan memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai asas yang kukuh," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, IHH Healthcare naik lima sen kepada RM8.35, manakala Maybank dan CIMB Group masing-masing susut dua sen kepada RM10.66 dan RM7.92, Public Bank turun satu sen kepada RM5.18, manakala Tenaga Nasional mendatar pada RM14.40.
Antara saham paling aktif, Dagang NeXchange meningkat tiga sen kepada 50 sen, NationGate Holdings meningkat 11 sen kepada RM1.54, HHRG naik tiga sen kepada 15 sen, V.S. Industry menokok satu sen kepada 25 sen dan Pegasus Heights tidak berubah pada setengah sen.
Malaysian Pacific Industries mendahului senarai saham paling untung, menambah 72 sen kepada RM47.98, Allianz Malaysia meningkat 68 sen kepada RM22.20, Skyechip melonjak 23 sen kepada RM3.25, Kobay Technology menokok 22 sen kepada RM2.68 dan Petronas Gas menambah 20 sen kepada RM17.36.
Bagi saham paling rugi, Nestle merosot RM1.80 kepada RM99.60, Kuala Lumpur Kepong susut RM1.06 kepada RM21.84, Dutch Lady Milk Industries susut 20 sen kepada RM31.80 dan Petronas Chemicals Group berkurang 10 sen kepada RM4.40.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 34.22 mata kepada 12,868.47, Indeks FBM Top 100 naik 23.66 mata kepada 12,683.86, manakala Indeks FBM ACE melonjak 76.37 mata kepada 5,156.32.
Indeks FBM Mid 70 menokok 146.86 mata kepada 18,373.38 dan Indeks FBM Emas Shariah bertambah 52.27 mata kepada 12,715.51.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 2.93 mata kepada 20,419.46 dan Indeks Tenaga meningkat 7.25 mata kepada 765.64, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.16 mata kepada 188.16 dan Indeks Perladangan berkurangan 20.59 mata kepada 9,520.49.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.76 bilion unit bernilai RM2.21 bilion berbanding 1.88 bilion unit bernilai RM3.13 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran turut menguncup kepada 1.12 bilion unit bernilai RM155.99 juta daripada 1.16 bilion unit bernilai RM155.13 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 591.08 juta unit bernilai RM193.20 juta daripada 511.75 juta unit bernilai RM180.17 juta sebelumnya.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan mencatatkan 223.34 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (346.03 juta), pembinaan (108.85 juta), teknologi (545.61 juta), perkhidmatan kewangan (48.20 juta), hartanah (198.65 juta), perladangan (31.26 juta), amanah pelaburan hartanah (12.31 juta), dana tertutup (45,200), tenaga (93.60 juta), penjagaan kesihatan (45.57 juta), telekomunikasi dan media (30.27 juta), pengangkutan dan logistik (49.95 juta), utiliti (33.37 juta) serta amanah perniagaan (422,600).
-- BERNAMA