Am 10/08/2026 09:27 PM

Allianz Life Lancar Healthcover Prime, Atasi Jurang Pendapatan Bagi Penyakit Kritikal

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Allianz Life Lancar Healthcover Prime, Atasi Jurang Pendapatan Bagi Penyakit Kritikal

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Allianz Life Insurance Malaysia Bhd (Allianz Life) melancarkan HealthCover Prime, pelan penyakit kritikal yang menawarkan pelbagai tuntutan dan potensi pembayaran hingga 635 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan untuk menyediakan sokongan kewangan sepanjang pemulihan.

Pelan itu menyediakan pelbagai tuntutan merentas kategori penyakit kritikal yang sama atau berbeza melalui Manfaat Pelbagai Bayaran, di samping Manfaat Berulang untuk kanser peringkat lanjut, serangan jantung atau strok.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Giulio Slavich berkata cabaran kewangan yang timbul daripada penyakit kritikal sering berterusan melangkaui rawatan perubatan terutama apabila pesakit tidak dapat bekerja.

“Hari ini, perbincangan mengenai penyakit kritikal bukan lagi sekadar kelangsungan hidup sebaliknya mengenai usaha individu dan keluarga untuk mengharungi tempoh selepas diagnosis.

"Pemulihan boleh menjadi cabaran sama ada secara fizikal, emosi dan kewangan terutama apabila pendapatan terjejas," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Slavich berkata HealthCover Prime dirangka untuk menyediakan sokongan kewangan yang meluas semasa tempoh pemulihan termasuk perlindungan daripada penyakit kritikal yang berulang dan kejadian kesihatan serius yang lain.

Menurut Allianz Life, pelan itu juga menyediakan pembayaran tambahan bagi kanser payudara dan prostat tahap lanjutan berdasarkan Manfaat Kanser Khusus Jantina.

Sementara itu, Manfaat Catch All Booster meliputi kemasukan ke unit rawatan rapi yang layak dan kemasukan ke hospital akibat pembedahan atau jangkitan walaupun tiada tuntutan penyakit kritikal dibuat.

Syarikat insurans itu memaklumkan pelan berkenaan diperkenal susulan kebimbangan mengenai kesediaan kewangan rakyat Malaysia berikutan gangguan pendapatan disebabkan penyakit serius.

Memetik Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari segi Permintaan 2024 oleh Bank Negara Malaysia, hanya 37 peratus rakyat Malaysia mampu menampung perbelanjaan sara hidup melebihi tiga bulan jika pendapatan mereka terjejas.

Menurut Allianz Life, penyakit kritikal seperti kanser, serangan jantung dan strok boleh berlaku semasa seseorang masih dalam alam pekerjaan, iaitu ketika komitmen kewangan mungkin merangkumi tanggungjawab menyara keluarga dan membayar balik pinjaman.

Syarikat itu memaklumkan bahawa peningkatan kadar kelangsungan hidup juga bermakna lebih ramai rakyat Malaysia hidup lebih lama selepas menghidap penyakit serius manakala proses pemulihan mungkin memerlukan penjagaan berpanjangan atau melibatkan risiko penyakit berulang.

Berbeza dengan insurans perubatan, yang membantu menampung kos kemasukan ke hospital dan rawatan, perlindungan bagi penyakit kritikal boleh membantu menangani kehilangan pendapatan, tempoh pemulihan yang panjang serta komitmen kewangan berterusan.

Bersempena dengan pelancaran itu, pelanggan layak yang membeli Pelan 1 HealthCover Prime akan menerima Manfaat Berulang dan Manfaat Kanser Khusus Jantina tanpa kos tambahan semasa kempen bagi tempoh terhad. Manfaat ini secara amnya tersedia di bawah Pelan 2.

Kempen ini berlangsung mulai hari ini hingga 31 Ogos dan terhad kepada 3,000 pelanggan Pelan 1 terawal yang layak atau sehingga peruntukan habis digunakan, mengikut mana lebih awal.

HealthCover Prime diperkenal semasa Festival Kesihatan Allianz 2026, yang dihadiri lebih 500 rakyat Malaysia.

-- BERNAMA