Am 10/08/2026 08:34 PM

Mahkamah Tolak Rayuan Siti Kasim Berhubung Perintah Larangan Perhimpunan 2022

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mahkamah Tolak Rayuan Siti Kasim Berhubung Perintah Larangan Perhimpunan 2022
Siti Kasim

PUTRAJAYA, 10 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan permohonan semakan kehakiman oleh aktivis dan peguam Siti Kasim serta seorang lagi individu berhubung perintah larangan perhimpunan yang mendesak bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan, empat tahun lalu.

Pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Ong Chee Kwan, sebulat suara menolak rayuan yang difailkan Siti, atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim dan seorang lagi peguam S. Raveentharan.

Hakim Azhahari berkata perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 20 Jan 2022, yang melarang perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’, adalah sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata perintah berkenaan dikeluarkan ketika perhimpunan itu dirancang untuk diadakan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan COVID-19.

"Keutamaan lebih besar responden pada ketika itu, pada pandangan kami, adalah untuk memastikan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan jumlah kes dikurangkan," katanya.

Beliau berkata perintah larangan itu tidak melanggar hak Siti Kasim dan Raveentharan, selaku pemohon, untuk bergerak bebas di bawah Perkara 9 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, responden tidak menghalang orang awam daripada menghadiri perhimpunan berkenaan di lokasi baharu di Stesen MRT Bangsar. Berdasarkan keterangan afidavit, terbukti bahawa perhimpunan itu berlangsung secara aman dan perayu turut menghadirinya meskipun dengan sedikit kelewatan," katanya.

Azhahari berkata dalam konteks itu, hak perayu untuk bergerak bebas tidak dinafikan.

Siti Kasim dan Raveentharan memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Januari 2022 dengan menamakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ketika itu ACP Noor Dellhan Yahaya; timbalannya DSP Muhammad Faizal Mohd Amir; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan, Siti Kasim dan Raveentharan menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan atas dakwaan pencabulan hak asasi kebebasan bergerak, bersuara dan hak untuk berhimpun.

Siti Kasim turut memohon ganti rugi kerana terpaksa menanggung malu, mengalami tekanan dan kekejangan kaki yang teruk selepas terpaksa berjalan dari Lorong Medan Tuanku ke lokasi perhimpunan baharu di Bangsar susulan sekatan polis di lokasi asal perhimpunan.

Pada prosiding itu, Siti Kasim dan Raveentharan diwakili peguam Kee Hui Yee manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali mewakili kesemua responden.

-- BERNAMA