Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 10 Ogos (Bernama) -- Pemangku Gabenor Bank Indonesia (BI) Destry Damayanti dicalonkan sebagai satu-satunya calon bagi memegang jawatan gabenor bank pusat itu secara tetap, dengan pencalonannya secara rasmi dikemukakan kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Menteri Sekretaris Negara Prasetyo Hadi berkata Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan kerajaan mengemukakan surat presiden yang mengandungi pencalonan Destry kepada pimpinan DPR pada Isnin.
“Pimpinan DPR akan mengumumkannya secara rasmi kepada media dan orang ramai esok, dan proses selanjutnya akan diserahkan kepada DPR mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya pada sidang media pada Isnin.
Destry, yang sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Kanan BI secara automatik mengambil alih jawatan pemangku gabenor selepas Perry Warjiyo meletakkan jawatan bulan lepas.
Prasetyo berkata kerajaan turut mengemukakan calon bagi jawatan timbalan gabenor kanan dan timbalan gabenor di bank pusat berkenaan.
-- BERNAMA