Am 10/08/2026 06:41 PM

Kapal Pertama MPMS Dibangunkan Di Turkiye Dijadual Terima Februari - Saifuddin Nasution

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kapal Pertama MPMS Dibangunkan Di Turkiye Dijadual Terima Februari - Saifuddin Nasution
Kredit: FB Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Dua Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) sedang dibangunkan oleh Desan Shipyard di Turkiye untuk Malaysia, dengan kapal pertama dijadualkan diterima pada Februari depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pembangunan kedua-dua kapal itu merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), khususnya dalam menghadapi persekitaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

“Turkiye merupakan antara rakan penting Malaysia dalam memperkukuh keupayaan maritim negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia Dr Nevzat Uyanik.

Saifuddin Nasution berkata dengan kawasan perairan negara yang luas serta cabaran di laut yang semakin kompleks, keperluan kepada aset yang moden dan berkeupayaan tinggi sememangnya menjadi satu keutamaan.

Beliau berharap segala perancangan pembangunan kedua-dua kapal berkenaan berjalan lancar dan dapat diterima mengikut jadual, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata beliau turut menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata dalam pertemuan berasingan di pejabatnya hari ini.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata perbincangan menyentuh mengenai kerjasama Malaysia-Jepun dalam bidang keselamatan maritim serta hubungan kedua-dua negara yang terus dikembangkan.

“Kerjasama APMM dan Japan Coast Guard bukan sesuatu yang baharu. Kedua-dua agensi telah beberapa kali terlibat dalam latihan dan operasi bersama, selain berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing,” katanya.

Beliau turut menghargai komitmen kerajaan Jepun dalam kerjasama berkenaan dan melihat masih banyak ruang yang boleh dimanfaatkan bersama, terutama dalam meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan penguatkuasaan maritim negara.

-- BERNAMA