GERIK, 10 Ogos (Bernama) -- Semua klinik kesihatan di 628 perkampungan Orang Asli di seluruh negara disasarkan untuk dinaik taraf dan diwujudkan menjelang tahun 2035, bagi memperkukuh kemudahan kesihatan kepada komuniti tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wliayah berkata walaupun memahami terdapat kekangan belanjawan, namun dengan kerjasama daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), perkara itu yakin boleh dilaksanakan.
“Memang ada klinik-klinik yang ada, tetapi kita berharap kerana menyantuni soal kesihatan ini, kita mesti memberikan perkhidmatan kepada mereka kerana mereka juga adalah warganegara Malaysia yang berhak untuk diberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.
“Mungkin walaupun kosnya tinggi disebabkan oleh accessibility, tetapi saya yakin Kementerian Kesihatan dapat bersama dengan JAKOA dan juga saya yakin Kementerian Kewangan juga akan membantu dari segi peruntukan untuk melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Air Banun, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ramli Mohd Noor.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional berkata melalui NSPSDHOA 2026-2035, penekanan juga diberikan kepada kaedah-kaedah untuk menentukan pencegahan penyakit dalam kalangan Orang Asli dapat dilakukan dan rawatan dapat diteruskan.
“Yang paling penting ialah bagaimana pencegahan harus dilakukan bukan sahaja dalam soal pemakanan, soal awareness ataupun kesedaran dan soal-soal lain yang berkait dengan kehidupan harian masyarakat Orang Asli,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata doktor pakar disaran dapat disediakan di hospital di dareah di kawasan penduduk Orang Asli, agar kes penyakit-penyakit kronik yang dialami Orang Asli dapat dirawat secara keseluruhan.
Mengulas mengenai Pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), beliau berharap akta berkenaan dapat dibentang pada persidangan Parlimen akan datang, sebelum penghujung tahun ini.
“Akta itu telah diluluskan pada tahun 1954, terlalu lama, ya. Artinya 70, 72 tahun. Tiba masanya untuk akta itu dipinda. Oleh kerana ianya melibatkan Duli-Duli yang Mulia, Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku, maka kertas kabinet yang telah diluluskan pada dasarnya perlu dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk penelitian.
“Jadi, beberapa pindaan utamanya yang melibatkan soal tanah, kerana tanah di bawah kuasa kerajaan negeri, maka beberapa penambahbaikan sedang dilakukan dan saya harap apabila kabinet meluluskan kertas ini setelah mengambil kira tentang nasihat dan pandangan Majlis Raja-Raja, saya harap ia akan dapat dibentangkan,” katanya.
-- BERNAMA