KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan wajar mendedahkan status pelaksanaan setiap syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi.
Pengarah strategi KRA Group Amir Fareed Rahim berkata perkara itu perlu merangkumi pengenalpastian agensi yang bertanggungjawab serta menetapkan garis masa yang realistik untuk menyelesaikan baki 25 peratus syor RCI berkenaan.
Beliau berkata perkara itu penting memandangkan syor yang masih belum dilaksanakan lebih kompleks berbanding 75 peratus yang telah dilaksanakan kerana melibatkan perubahan struktur, dan perundangan yang tidak boleh dilakukan hanya melalui arahan pengurusan dalaman.
“Perkara utama dalam hal ini, sudah tentu pada pindaan Akta Tabung Haji bagi memperkukuh tadbir urus, kebertanggungjawaban dan pemerhatian, yang memerlukan pindaan undang-undang di Parlimen,” katanya ketika menjadi tetamu dalam talian program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk , ‘Malaysia’s Haj Fund: The Government Push for Transparency and Reform’ di sini, hari ini.
Amir Fareed menyifatkan keputusan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat pada esok sebagai langkah positif, dan ia akan lebih produktif sekiranya menumpukan kepada penelitian pelaksanaan kesemua 25 syor serta mengenal pasti syor yang memerlukan perubahan perundangan.
“Kedua, ahli Parlimen perlu meneliti bagaimana kebertanggungjawaban akan dilaksanakan. Mereka perlu bersetuju supaya audit forensik dan siasatan penguatkuasaan dijalankan bagi menentukan sama ada kegagalan itu berpunca daripada pertimbangan yang kurang tepat, kecuaian, pelanggaran tanggungjawab fidusiari atau unsur rasuah atau pelanggaran undang-undang lain.
“Ketiga, Parlimen perlu mewujudkan pengawasan secara berterusan. Sidang khas itu tidak seharusnya menjadi pengakhiran kepada proses berkenaan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan kemas kini secara berkala mengenai pembaharuan yang masih belum selesai, manakala agensi penguatkuasaan perlu melaporkan perkembangan setakat yang dibenarkan tanpa menjejaskan siasatan.
Mengulas keputusan untuk mengeluarkan laporan RCI itu, beliau berkata langkah berkenaan memperlihatkan keyakinan kerajaan bahawa masanya sesuai, khususnya ketika TH kini cukup kukuh untuk berdepan dengan pendedahan berkenaan dan kerajaan bersedia mempertahankan rekod pembaharuannya.
“Ia juga menunjukkan pentadbiran sekarang bersedia membezakan antara melindungi institusi dengan melindungi individu.
“Tabung Haji mesti dilindungi kerana ia institusi penting bagi umat Islam, dan mereka yang melanggar undang-undang tidak sewajarnya dilindungi,” katanya.
Pada 29 Julai lepas, RCI mengeluarkan laporan setebal 211 halaman susulan siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh antara 2014 dan 2020.
-- BERNAMA