Am 10/08/2026 04:01 PM

Negeri Sembilan Setuju Tidak Naikkan Cukai Taksiran - MB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Negeri Sembilan Setuju Tidak Naikkan Cukai Taksiran - MB
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim (kiri) bercakap pada sidang media khas di Wisma Negeri, hari ini.

SEREMBAN, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak menaikkan cukai taksiran kediaman bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, sekali gus antara usaha kerajaan negeri meringankan beban rakyat.

"Sebenarnya pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang membuat kajian untuk kenaikan cukai yang sepatutnya dijadualkan Januari atau Julai tetapi hari ini kita memutuskan tidak akan ada kenaikan cukai pintu (taksiran) kediaman.

"Cukai pintu tetap ada tetapi tidak akan ada kenaikan untuk tempoh lima tahun. Ini adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-16 akan diadakan pada 18 Ogos ini.

Beliau berkata persidangan berkenaan turut melibatkan upacara mengangkat sumpah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pelantikan Yang Dipertua DUN (Speaker) dan Timbalannya selain membentangkan belanjawan tambahan bagi menampung beberapa keperluan kewangan negeri.

“Speaker ini kita lantik daripada kalangan bukan ADUN manakala Timbalan Speaker mesti daripada ADUN. Jadi Timbalan Speaker sebenarnya sudah ada nama, minggu depan baru kita umumkan. Calon Speaker pula sudah ada bayangan tetapi belum diputuskan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam mesyuarat MMKN pertama itu, beliau menekankan supaya semua Exco melaksanakan tugas di bawah portfolio masing-masing dengan penuh dedikasi, integriti, profesionalisme dan komitmen tinggi.

Beliau berkata pentadbiran perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan setiap Exco memberikan kepimpinan yang jelas dalam portfolio masing-masing serta memastikan jabatan dan agensi di bawah tanggungjawab mereka bergerak seiring dengan hala tuju kerajaan negeri.

-- BERNAMA