CHUKAI, 10 Ogos (Bernama) -- Dua lelaki warga asing ditahan kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam Operasi Pendatang Asing Tanpa Izin Khas di Bakau Tinggi di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata 33 individu diperiksa terdiri daripada enam warga tempatan dan 27 warga asing membabitkan enam lelaki, lima wanita dan 16 kanak-kanak pada operasi bermula 12.01 tengah malam hingga 6 pagi.
"Daripada jumlah itu, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata operasi berkenaan turut memfokuskan usaha mengesan dan menangkap suspek dipercayai terlibat dalam kes jenayah seksual membabitkan seorang mangsa orang kurang upaya setelah menerima laporan berhubung kejadian itu Jumaat lepas.
Operasi itu, katanya dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu.
Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang terhadap warga asing kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan ketenteraman awam dan masyarakat setempat.
"Serahkan sepenuhnya urusan dan tindakan untuk siasatan kepada pihak berkuasa," katanya.
-- BERNAMA