Am 10/08/2026 03:15 PM

Perak Catat Pelaburan Tertinggi RM15.2 Bilion Bukti Komitmen Kerajaan MADANI - Nga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perak Catat Pelaburan Tertinggi RM15.2 Bilion Bukti Komitmen Kerajaan MADANI - Nga
Kredit: Pejabat ADUN kepayang

IPOH, 10 Ogos (Bernama) -- Perak mencatatkan pelaburan RM15.2 bilion, tertinggi dalam sejarah selain belanjawan lebihan selama empat tahun berturut-turut dengan ketibaan 10.1 juta pelancong, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata pencapaian tersebut, membuktikan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negeri itu mampu membawa pembangunan ekonomi yang kukuh serta mentadbir negeri secara adil dan saksama, untuk masyarakat berbilang kaum.

“Rekod pelaburan tertinggi sebanyak RM15.2 bilion dan jumlah pelancong tertinggi sebanyak 10.1 juta orang, merupakan pencapaian yang membanggakan bagi negeri Perak dan momentum ini perlu kita kekalkan. 

“Lebih penting, Kerajaan Perpaduan Perak turut berjaya mencatatkan belanjawan lebihan selama empat tahun berturut-turut, dengan lebihan RM85 juta pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Ulang Tahun ke-60 DAP di Buntong, di sini malam tadi.

Majlis makan malam itu dihadiri lebih 1,500 orang termasuk veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Ahli Dewan Undangan Buntong M. Thulsi Manogaran, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How, Timbalan Speaker Perak Jenny Choy Tsi Jen dan Ahli Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar.

Nga berkata pencapaian berkenaan menunjukkan pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan di bawah kerangka ekonomi MADANI yang berhemah, boleh bergerak seiring pentadbiran inklusif serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan bahawa politik baharu yang membina mampu memberikan hasil nyata kepada rakyat dan Pakatan Harapan sentiasa komited membina perpaduan, mempertahankan keharmonian serta memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa dekat dengan nadi rakyat.

Nga berkata pelbagai reformasi institusi yang telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan turut membuktikan bahawa kerajaan bersedia mendengar suara rakyat, memperbaiki sistem penyampaian serta memastikan pentadbiran awam terus responsif terhadap keperluan masyarakat.

-- BERNAMA