KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Reformasi Lembaga Tabung Haji (TH) mula menunjukkan hasil apabila prestasi pelaburan serta agihan keuntungan institusi berkenaan bertambah baik, dengan kadar agihan meningkat kepada 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Pengarah Program MBA Putra Business School Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata perkembangan itu merupakan sebahagian daripada reformasi TH termasuk pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Sekarang TH mula mencatatkan peningkatan dalam pulangan atas pelaburan, jumlah pendeposit tertinggi dan juga agihan keuntungan tahun lepas (2025) meningkat 3.50 peratus, tertinggi sejak lapan tahun lepas.
“Ini semua petanda ataupun bukti yang tidak boleh disangkal bahawa TH telah pulih sepenuhnya, tiada duit yang hilang cuma RCI ini mahu memberitahu terutamanya (kepada) pengurusan TH sekarang supaya berwaspada,” katanya ketika menjadi tetamu program 'Apa Khabar Malaysia: RCI Tabung Haji: Memelihara Amanah Pendeposit,’ terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata TH telah melaksanakan lebih 75 peratus daripada 25 syor RCI di bawah fasa transformasi dan pemulihan tadbir urus TH.
Justeru itu, beliau berharap kalangan pendeposit tidak perlu bimbang mengenai status wang mereka yang disimpan di TH susulan laporan RCI mengenai institusi itu.
“Wang simpanan pendeposit dalam TH pasti selamat dan terjamin. Tidak perlu panik kerana simpanan pendeposit itu dijamin sepenuhnya oleh kerajaan. Banyak mana yang kita simpan banyak itulah yang dijamin,” katanya.
Selain itu, Ahmed Razman berkata dari perspektif kewangan Islam, pengurusan dana pendeposit TH perlu berteraskan prinsip syariah, ketelusan dan akauntabiliti, dengan kepentingan pendeposit kekal sebagai keutamaan.
Beliau berkata TH merupakan institusi unik kerana di samping menguruskan simpanan pendeposit dan melaburkan dana berkenaan, matlamat penubuhannya lebih luas.
Institusi itu ditubuhkan untuk meningkatkan taraf ekonomi umat Islam supaya mereka mampu menunaikan ibadah haji serta mempunyai simpanan dan aset yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan selepas menunaikan haji.
Menurutnya, pengurusan dana TH perlu dilaksanakan melalui proses yang ketat dan mematuhi prinsip syariah, selain memastikan aspek ketelusan dan akauntabiliti diberi keutamaan supaya pendeposit memahami bagaimana dana mereka diuruskan.
Pada 29 Julai lepas, RCI mengenai TH mengeluarkan laporan setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 sehingga 2020.
Satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos (esok) bagi membahaskan laporan berkenaan.
-- BERNAMA