Am 10/08/2026 02:17 PM

PBIM Meterai MoU Dengan Malaysia Athletics, PAAA Untuk Capai Status World Athletics Label Race

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PBIM Meterai MoU Dengan Malaysia Athletics, PAAA Untuk Capai Status World Athletics Label Race

GEORGE TOWN, 10 Ogos (Bernama) -- Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) memperkukuh usaha untuk muncul sebagai maraton bertaraf dunia menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Athletics (MA) dan Penang Amateur Athletic Association (PAAA), sekali gus merintis laluan ke arah mendapatkan status World Athletics Label Race.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata kerjasama itu akan menyediakan bimbingan teknikal, sokongan dan pengiktirafan yang diperlukan oleh PBIM untuk menjadikan acara berkenaan bertaraf dunia, selain memperkukuh pembangunan olahraga junior di negeri itu.

“Dengan pengesahan rasmi Malaysia Athletics serta sokongan MA dan PAAA, PBIM diiktiraf sebagai antara acara maraton terbesar dan paling berwibawa di negara ini.

“Melalui MoU ini, kami kini mempunyai satu lagi sasaran penting, malah boleh dikatakan yang terbesar, iaitu mencapai status World Athletics Label Race dengan bimbingan dan sokongan Malaysia Athletics,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PBIM berkata edisi tahun ini menarik penyertaan lebih 22,000 peserta. 

Wong menandatangani MoU itu bagi pihak PBIM, manakala MA diwakili pemangku presidennya Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan PAAA diwakili setiausahanya V. Govindasamy.

World Athletics Label Race ialah pengiktirafan berprestij yang diberikan oleh World Athletics kepada acara larian lebuh raya terkemuka dunia seperti maraton dan larian 10 kilometer.

Wong berkata pencapaian status itu bukan sahaja akan meningkatkan kedudukan PBIM pada peringkat antarabangsa, malah turut memperkukuh profil pelancongan Pulau Pinang dengan menarik minat atlet elit, media antarabangsa dan pelari dari luar negara, sekali gus menjana limpahan ekonomi kepada hotel, restoran dan perniagaan berkaitan pelancongan yang lain.

Sementara itu, Wan Hisham berkata MoU berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh pembangunan olahraga negara menerusi penganjuran acara larian bertaraf dunia, di samping mewujudkan peluang untuk mengenal pasti dan membimbing generasi atlet akan datang.

“Melalui MoU ini, kami memperkukuh hubungan antara penganjur acara, badan induk kebangsaan dan persatuan olahraga negeri, sekali gus membolehkan setiap pihak memainkan peranan masing-masing secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA