Am 10/08/2026 12:00 PM

Dua Kanak-kanak Hilang Ditemukan Lemas Di Empangan Taman Scientex Pasir Gudang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Kanak-kanak Hilang Ditemukan Lemas Di Empangan Taman Scientex Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Dua kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak petang semalam, ditemukan lemas di kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang, awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohamad Haikal Ramzi Mohamad Khairudi, 12, dan Mohamad Adam Farish Arman, 11.

Komander Operasi Kanan TPgB II Firdaus Ahmad berkata mangsa pertama berusia 12 tahun ditemukan pada 2.12 pagi di kedalaman air kira-kira dua meter dan tiga meter dari tebing.

“Mangsa kedua berusia 11 tahun pula ditemukan pada 2.33 pagi di kedalaman air kira-kira dua meter, 15 kaki dari tebing.

"Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan BBP Skudai itu turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air dan tamat pada 3 pagi.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.36 malam tadi.

Bapa mangsa memaklumkan kedua-duanya dikhuatiri lemas di kawasan empangan berkenaan selepas sebuah basikal dan selipar milik mangsa ditemukan di lokasi kejadian.

-- BERNAMA