Am 09/08/2026 06:18 PM

Abang Johari Gesa SABERKAS Bantu Lahir Tenaga Pakar Bertaraf Dunia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Abang Johari Gesa SABERKAS Bantu Lahir Tenaga Pakar Bertaraf Dunia
Tan Sri Abang Johari Tun Openg

SIBU, 9 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) digesa membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai tenaga pakar bertaraf dunia dalam ekonomi digital dan teknologi baharu bagi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai pemain ekonomi global.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kepimpinan pertubuhan belia itu perlu membuka lebih banyak peluang kepada ahli berpotensi menerusi program pembangunan belia, khususnya dalam bidang teknologi dan industri masa depan.

“Pendekatan sama pernah dilaksanakan ketika SABERKAS di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud apabila belia Sarawak dihantar menjalani latihan industri, termasuk dalam bidang teknologi tinggi di Silicon Valley, Amerika Syarikat.

"Masa depan Sarawak adalah dalam tangan saudara-saudari sekalian. Jika anda boleh menunjukkan prestasi yang baik dan mampu mencipta produk baharu, anda sememangnya berada di sana," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS ke-18 di sini hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga pakar tempatan seiring peralihan kepada ekonomi baharu berteraskan teknologi digital, tenaga bersih, semikonduktor, keterjaminan makanan dan analitik data.

Beliau berkata jumlah penduduk Sarawak yang kecil menyebabkan negeri itu tidak boleh bergantung kepada pasaran domestik semata-mata, sebaliknya perlu meneroka pasaran serantau dan Asia Timur.

Beliau berkata pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan Sarawak merupakan antara langkah menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong transformasi ekonomi negeri.

Abang Johari berkata kepakaran tempatan juga diperlukan untuk memanfaatkan sumber tenaga Sarawak termasuk hidro, gas, solar dan biojisim serta meningkatkan produktiviti sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi baharu.

--BERNAMA