KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Polis sedang mengesan empat individu disyaki memecah masuk sebuah rumah seorang wanita di Sungai Buloh, Selangor, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM35,000.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit hari ini dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan empat suspek bertopeng yang mengakibatkan kerugian barangan kemas dan kehilangan beberapa dokumen penting," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Shamie Yusop melalui talian 013-6463 069 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh 03-6156 1222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video melalui media sosial memaparkan keadaan rumah seorang wanita berselerak selepas dipercayai dipecah masuk, dengan wang tunai, telefon bimbit, barang kemas serta pasport didakwa hilang.
-- BERNAMA