Am 09/08/2026 11:40 PM

Kemerdekaan Mesti Diisi Dengan Pembangunan Bermanfaat - Wan Rosdy

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kemerdekaan Mesti Diisi Dengan Pembangunan Bermanfaat - Wan Rosdy
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

RAUB, 9 Ogos (Bernama) -- Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan, sebaliknya perlu diisi dengan pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat selain memastikan kesejahteraan mereka terus dipelihara, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan Aspirasi Pahang 1st sebagai landasan memacu kemajuan negeri secara menyeluruh serta memenuhi keperluan masyarakat.

“Kita mahu ekonomi berkembang, pelaburan bertambah, peluang pekerjaan diwujudkan dan pendidikan anak-anak terus diperkasakan. 

“Pada masa sama, kebajikan golongan yang memerlukan terus kerajaan negeri laksanakan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Pahang di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Datuk Fadzli Mohamad Kamal.

Wan Rosdy turut mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan perbezaan pendapat merosakkan persaudaraan dan keharmonian yang telah dibina selama puluhan tahun. 

“Walau berbeza latar belakang, kita berkongsi satu negara... kita mempunyai satu masa depan. Walau berbeza cara, kita tetap menuju matlamat yang sama iaitu Malaysia yang aman, Pahang yang maju dan rakyat yang sejahtera,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Pahang agar mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, di samping memastikan semangat patriotik turut subur dalam jiwa.

Menteri Besar berkata kecintaan kepada negara tidak memadai sekadar dizahirkan melalui kata-kata atau pengibaran bendera, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kejujuran, integriti, sikap saling menghormati dan kesediaan untuk saling membantu.

Terdahulu, Wan Rosdy turut menyertai program Walk A Town With Me Pahang 1st Maju Terus Pahang iaitu acara berjalan laju sejauh 2.7 kilometer mengelilingi bandar Raub.

-- BERNAMA