KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Segala hasil yang diperoleh Sabah daripada Kerajaan Persekutuan akan dikembalikan kepada rakyat negeri berkenaan menerusi pelbagai bentuk insentif, bantuan dan pembangunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata peningkatan bayaran interim pemberian khas kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina lebih banyak jalan raya berturap, jambatan konkrit serta menambah baik bekalan air dan elektrik di seluruh Sabah.
“Kita mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan jumlah bayaran interim ini, dan kita akan menggunakan hasil ini untuk agenda-agenda pembangunan serta kebajikan rakyat Sabah seperti pembinaan lebih banyak Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan Program Sentuhan Kasih Rakyat.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Ulang Tahun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke-32 dan pembukaan Persidangan Perwakilan Tritahunan ke-17 parti berkenaan di sini hari ini.
Pada 12 Jun lepas, Kerajaan Negeri Sabah menerima RM600 juta daripada bayaran geran khas interim berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memfokus kepada prestasi kewangan dan peningkatan kutipan hasil dengan jumlahnya berjaya dikekalkan mencecah RM7 bilion setiap tahun sejak 2022 serta dijangka meningkat hingga RM8 bilion pada tahun ini.
Beliau juga berkata daya tahan ekonomi Sabah terus diperkukuh meskipun berdepan pelbagai cabaran domestik dan global sekali gus menjadikan Negeri Di Bawah Bayu sebagai destinasi pelaburan strategik.
-- BERNAMA