Politik 09/08/2026 10:58 PM

Penyertaan UPKO Perkukuh Kestabilan Politik Sabah - Hajiji

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penyertaan UPKO Perkukuh Kestabilan Politik Sabah - Hajiji
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti UPKO Datuk Ewon Benedick memotong kek pada majlis perasmian Majlis Ulang Tahun UPKO Ke-30 di Dewan Hongkod Koisaan Penampang.

KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Kestabilan politik amat penting bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada agenda pembangunan rakyat, kemakmuran ekonomi serta kemajuan infrastruktur di Sabah.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata perpaduan dan kerjasama erat antara parti komponen GRS merupakan kunci bagi memastikan Sabah terus maju dan makmur, meskipun setiap parti mempunyai latar belakang serta asas perjuangan yang berbeza.

“Sebagai rakan seperjuangan dalam GRS, kita mungkin datang daripada asas perjuangan dan latar belakang yang berbeza, tetapi sebagai komponen GRS, kita berteduh di bawah satu bumbung yang sama, berkongsi langit yang sama. Bahkan, lebih penting, kita memperjuangkan bumi Sabah yang sama.

“GRS ini adalah rumah kita, rumah yang harus kita jaga bersama, rumah yang memayungi perjuangan kita, perjuangan demi rakyat dan negeri tercinta,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke-32 dan pembukaan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji berkata penyertaan UPKO dalam GRS akan memperkukuh kestabilan politik negeri, sekali gus memantapkan kerjasama antara parti-parti tempatan.

“Saya ingin mengajak seluruh pimpinan dan ahli UPKO untuk terus sama-sama menjayakan wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper,” katanya.

Pada 18 Jun lepas, GRS bersetuju menerima UPKO sebagai parti anggota baharu gabungan itu.

Kemasukan UPKO menjadikan GRS kini dianggotai enam parti komponen, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS) dan UPKO.

-- BERNAMA