GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Sepasang suami isteri warga emas dan cucu mereka mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Macalister, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi dan susulan itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak terus ke lokasi.
"Ketiga-tiga mangsa yang terperangkap dalam kereta itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang berada di kawasan tersebut sebelum ketibaan pihak bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hingga 12 tengah hari, anggota bomba bersama pasukan pihak berkuasa tempatan masih giat menjalankan operasi pemotongan dan pembersihan sisa pokok tumbang di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran lalu lintas.
Sementara itu, menerusi hantaran Facebook, Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata berdasarkan maklumat setakat ini, tiga orang yang dilaporkan cedera telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Lim berkata pasukannya juga sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut, serta memberikan bantuan yang diperlukan.
"Semoga semua mangsa berada dalam keadaan selamat, orang ramai yang melalui kawasan tersebut juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan lalu lintas di lokasi kejadian," katanya.
Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit, dan jalan berkenaan ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan.
-- BERNAMA