Am 09/08/2026 03:13 PM

Polis Kluang Siasat Dakwaan Anggotanya Terlibat Kes Ugut Dan Meminta Rasuah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Kluang Siasat Dakwaan Anggotanya Terlibat Kes Ugut Dan Meminta Rasuah

KLUANG, 9 Ogos (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang anggotanya dipercayai terlibat dalam kejadian memeras ugut dan meminta rasuah daripada orang awam di daerah ini, Rabu lepas yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata hantaran menerusi aplikasi Threads  memaparkan kejadian itu dikesan pada kira-kira 11 pagi semalam dan telah menimbulkan pelbagai persepsi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut termasuk dari aspek tatatertib terhadap anggota polis yang terlibat.

“Insiden dipercayai berlaku pada 12.20 tengah malam, 5 Ogos lepas di jalan berhampiran sebuah pasar raya besar di Bandar Newpark, Kluang.

"Bagi pihak IPD Kluang, kami tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati mencemarkan imej PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau  menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

-- BERNAMA