SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan zakat lebih RM17 juta bagi menyantuni 13,945 asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan di negeri itu sepanjang tahun lepas.
MAIS dalam kenyataan memaklumkan peruntukan itu disalurkan menerusi geran pemulihan kepada rumah pemulihan riqab, program kursus dan latihan, perkhidmatan pembimbing serta sumbangan kebajikan di tiga rumah pemulihan dan 24 rumah pemulihan riqab kendalian MAIS.
"Inisiatif berkenaan diteruskan pada tahun ini. Bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, 1,656 asnaf riqab telah disantuni dengan peruntukan zakat RM4.1 juta melalui pelbagai bentuk bimbingan dan bantuan kebajikan.
"Pihak MAIS juga telah melantik 213 orang Pembimbing Al Riqab bagi membantu golongan ini kembali ke jalan yang benar dan diredai," menurut kenyataan itu.
MAIS dalam kenyataan sama turut memaklumkan penganjuran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2026 bermula 1 hingga 31 Ogos ini bagi meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan penglibatan pelbagai pihak secara bersepadu, sekali gus memberikan ruang kepada masyarakat mendekati golongan tersebut.
Menurut MAIS, pelbagai program dilaksanakan sepanjang kempen itu termasuk forum riqab, ceramah informasi, program bimbingan, kaunter penerangan, Ihtifal Amal Islami Rumah Pemulihan Riqab dan Seminar Riqab Negeri Selangor bagi mendedahkan isu sosial dan akidah kepada masyarakat.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung kempen berkenaan boleh mengikuti perkembangan menerusi platform media sosial MAIS atau laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.
Golongan asnaf riqab merujuk kepada individu yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta orang Islam yang terpesong agama seperti yang telah difatwakan 2012.
-- BERNAMA