GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggunakan teknologi penderiaan jauh selain pemeriksaan fizikal di tapak bagi menilai tahap kesihatan pokok, susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Macalister di sini hari ini.
Datuk Bandar MBPP Datuk A Rajendran berkata langkah itu penting bagi mengenal pasti pokok yang masih boleh diselamatkan dapat dipulihkan, manakala pokok berisiko dan mengancam keselamatan awam akan diambil tindakan sewajarnya termasuk ditebang.
Beliau berkata kebanyakan pokok di kawasan George Town berusia 70 hingga 120 tahun, justeru, pemantauan berterusan diperlukan bagi menentukan keadaan dan tahap keselamatannya.
"Kita menggunakan teknologi penderiaan jauh dan pemeriksaan fizikal di tapak untuk mengenal pasti tahap kesihatan pokok.
"Melalui pemeriksaan ini, pokok yang masih dapat diselamatkan, MBPP akan berusaha mengambil tindakan untuk memulihkannya, sebaliknya pokok yang tidak dapat diselamatkan terpaksa ditebang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata MBPP akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pokok-pokok berusia bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan orang awam.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi tadi, sepasang suami isteri warga emas dan cucu mereka mengalami kecederaan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Macalister.
Rajendran berkata ketiga-tiga mangsa, lelaki berusia 66 tahun, isterinya 68 tahun dan cucu mereka berusia lapan tahun, mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata lelaki berkenaan Loh Kok Kim mengalami kecederaan di dada, manakala isterinya Lee Geok Suan cedera di hidung dan dada.
"Cucu mereka Emily Loh Tze Ying pula cedera pada bahagian tangan. Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.
-- BERNAMA