Am 09/08/2026 01:20 PM

Kerajaan Sasar Bina 1,000 Taman Rekreasi MADANI Menjelang 2030

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Sasar Bina 1,000 Taman Rekreasi MADANI Menjelang 2030

MELAKA, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan pembinaan sekurang-kurangnya 1,000 Taman Rekreasi MADANI di seluruh negara menjelang 2030 bagi menyediakan kemudahan rekreasi kepada masyarakat setempat.

Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Mansor Mohamad berkata sebanyak 216 Taman Rekreasi MADANI telah dibina hingga 2025 manakala 100 lagi sedang dalam proses pembinaan tahun ini.

"Kos pembinaan sebuah Taman Rekreasi MADANI secara purata adalah antara RM400,000 hingga RM500,000, bergantung kepada saiz tapak dan reka bentuk yang dibangunkan.

“Taman Rekreasi MADANI ini dibangunkan dalam kawasan komuniti dan kejiranan supaya kemudahan berkenaan mudah diakses penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penghargaan sempena Hari Landskap Negara di Stadium Hang Jebat Krubong di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu itu turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Mansor berkata reka bentuk taman itu menggunakan konsep reka bentuk universal bagi membolehkan kemudahan digunakan semua golongan termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Hari Landskap Negara yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas dan berakhir hari ini, mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 80,000 pengunjung direkodkan hingga semalam.

Beliau berkata penganjuran itu bukan sahaja bertujuan membudayakan landskap dalam kalangan komuniti, malah membantu pengusaha industri landskap memperkenalkan dan menjual produk mereka.

Mansor berkata persiapan untuk sambutan Hari Landskap Negara tahun depan akan dimulakan sebaik sahaja program tahun ini berakhir, termasuk mengenal pasti lokasi serta mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.

-- BERNAMA