KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menziarahi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Menerusi hantaran di X, Anwar berkata keadaan kesihatan Fadillah menunjukkan perkembangan positif ketika pertemuan mereka semalam.
"Alhamdulillah, keadaan kesihatan beliau semakin baik, namun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata atas dasar persahabatan, beliau dan isteri turut melapangkan masa menziarahi Ismail Sabri yang juga sedang menerima rawatan di IJN, dan masih memerlukan pemantauan lanjut.
"Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara, insya-Allah," kata beliau.
-- BERNAMA