BUTTERWORTH, 9 Ogos (Bernama) -- Dasar kebajikan perlu terus diperkukuh bagi memastikan rakyat yang berdepan kesusahan, musibah atau tekanan kehidupan mendapat sokongan dan perlindungan sewajarnya, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Beliau berkata kemajuan dan kemakmuran sesebuah negeri perlu bergerak seiring dengan usaha menjaga kebajikan rakyat memandangkan tidak semua individu melalui keadaan kehidupan yang sama.
“Ada yang hidup ini naik, ada yang turun. Jadi ketika rakyat Pulau Pinang menghadapi kesusahan, kesukaran atau musibah dalam kehidupan, maka perlu ada dasar-dasar kebajikan untuk mendukung dan menjaga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih One Hope Charity di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Sim berkata usaha kebajikan juga penting dalam memupuk masyarakat yang penuh kasih sayang selain mempertahankan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Beliau berkata One Hope Charity antara contoh pertubuhan yang memainkan peranan berkenaan menerusi jaringan perniagaan dan penyumbang yang menyokong usaha membantu masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata lebih 10,000 keluarga menerima bantuan menerusi Program Tautan Kasih tahun ini membabitkan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM3.5 juta.
Beliau berkata setiap keluarga menerima bantuan bernilai kira-kira RM320 merangkumi barangan keperluan asas dan harian serta bantuan tunai RM200 untuk digunakan mengikut keperluan masing-masing.
Chua berkata sepanjang 2021 hingga 2025, One Hope Charity menyalurkan lebih RM100 juta bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan, menyokong hospital kerajaan, menyumbang peralatan perubatan serta melaksanakan pelbagai program kebajikan.
Bersempena dengan ulang tahun ke-25 pertubuhan itu tahun depan, pelbagai inisiatif kebajikan dirancang, termasuk memperluas Program Bantuan Perubatan dan Program Tautan Kasih, menaik taraf peralatan serta kemudahan hospital kerajaan dan memperkukuh program kesihatan komuniti.
-- BERNAMA