Oleh Afifitri Muhammad
KUANTAN, 9 Ogos (Bernama) -- Alunan gemersik muzik gamelan yang sering mengiringi majlis penuh istiadat dan persembahan tarian tradisional sememangnya cukup sinonim dengan budaya Melayu.
Namun, di sebalik instrumen tradisional yang sarat dengan identiti kemelayuan itu, terselit satu gambaran bagaimana seni warisan negara itu mampu merentasi batas kaum dan menarik minat generasi muda daripada pelbagai latar belakang.
Perkara itu dapat dilihat menerusi kumpulan Anggun Gamelan Universiti Malaya (UM) yang bukan sahaja menghimpunkan pemain Melayu, malah turut disertai anak muda berbangsa Cina yang begitu menghayati keunikan gamelan.
Melihat mereka duduk bersimpuh, lincah mengetuk kemarong dan memalu saron dengan penuh penghayatan, pastinya menimbulkan rasa kagum kerana instrumen yang begitu dekat dengan tradisi Melayu itu kini turut dimainkan dengan penuh minat oleh pemuzik kaum lain.
Antara mereka ialah pensyarah muzik UM Nur Diana Woon Muhammad Noor Woon, yang memilih gamelan sebagai satu daripada cabang pengkhususan dalam perjalanan muziknya, selain pemain saron barung Ong Li Yang dan pemain saron pekin Ng Jing Yi.
Nur Diana Woon, 26, berkata muzik gamelan memberikan peluang cerah untuknya mengembangkan kerjaya memandangkan industri muzik tempatan mempunyai ramai pemain piano sekali gus menjadikan persaingan dalam bidang itu agak sengit.
“Jika seseorang itu tidak berada di tahap terbaik, pilihan kerjaya yang ada biasanya agak terhad dan berasaskan arus perdana seperti menjadi guru piano. Menerusi gamelan, saya melihat lebih banyak peluang dan ruang untuk menonjolkan bakat serta membuat persembahan di pentas-pentas besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau yang juga pemain kemarong berkata latar belakangnya dalam muzik klasik barat banyak membantunya menguasai instrumen gamelan dengan lebih mudah.
“Apa yang kita dah belajar untuk bermain classical piano ataupun percussion lain, ia amat membantu untuk bermain gamelan ini,” katanya yang menyertai Anggun Gamelan pada 2023.
Bagi Ong, 26, pula penglibatannya dalam gamelan berjaya memperluas spektrum muziknya selaku pemuzik bebas yang pakar dalam instrumen perkusi barat.
“Sebagai seorang pemuzik, kita tidak boleh hanya terikat pada satu genre klasik. Gamelan adalah budaya tradisional kita, jadi penting untuk mempelajarinya sebaris dengan genre muzik pop atau jazz untuk menjadi seorang pemuzik yang versatil,” katanya pemuda yang menyertai kumpulan itu sejak dua tahun lepas.
Sementara itu, Ng, 26, yang merupakan guru piano berkata minat terhadap gamelan bermula selepas beliau mengambil kursus elektif muzik berkenaan di UM sebelum akhirnya jatuh cinta dengan keunikan bunyi dan cara permainan instrumen tradisional itu.
Beliau berkata pengalaman itu mendorongnya untuk terus aktif bersama Anggun Gamelan sehingga kini.
Berkongsi detik awal penubuhan Anggun Gamelan, pensyarah sambilan di Jabatan Asia Tenggara UM Muhammad Rushdi Mohd Azahari, 35, berkata kumpulan itu ditubuhkan pada 2014, terdiri daripada pelajar yang mengambil subjek elektif gamelan di universiti berkenaan.
Beliau berkata penyertaan sulung dalam Pertandingan Gamelan Melayu Tradisional di Terengganu turut membuahkan hasil apabila mereka menjuarai kategori kontemporari, sebelum mula menerima pelbagai jemputan persembahan dan dikenali dalam komuniti seni.
Selain melakukan persembahan, Muhammad Rushdi berkata Anggun Gamelan tetap aktif melaksanakan projek kebudayaan termasuk menguruskan "Summer Programme" di UM yang mendedahkan muzik tradisional Malaysia kepada pelajar antarabangsa, khususnya dari Korea Selatan.
Beliau berkata usaha memelihara seni gamelan bukan sekadar melalui persembahan, malah menerusi penerapan nilai menghormati alat muzik tradisional itu kepada setiap pemain.
Menyentuh perancangan masa depan, beliau berhasrat untuk terus memperluas jenama Anggun Gamelan memandangkan minat pelajar terhadap kelab itu semakin berkembang, selain merancang untuk menganjurkan Konsert Gamelan di UM pada tahun hadapan.
Pengarah Pusat Kebudayaan Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM Ramzi Ramli menyifatkan keunikan kumpulan Anggun Gamelan yang terdiri daripada pelbagai kaum mencerminkan seni warisan negara mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Pusat Kebudayaan turut memberi peluang kepada kumpulan ini membuat persembahan dalam pelbagai acara rasmi utama universiti,” katanya.
Ramzi berkata bagi menggalakkan lebih ramai pelajar termasuk bukan Melayu mendekati seni gamelan, Pusat Kebudayaan UM menubuhkan Kelab KESUMA (Gamelan) di kampus selain menganjurkan bengkel serta persembahan sebagai platform pendedahan kepada warga universiti.
“Di samping mengekalkan keaslian, kami juga terbuka kepada perkembangan muzik semasa agar seni gamelan terus berkembang dan diperjuangkan pada masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA