PETALING JAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Sunway Pyramid Ice bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada satu pertunjukan menakjubkan mengenai keanggunan, ketepatan dan semangat kesukanan, apabila Skate Asia 2026 kembali ke Malaysia dan menandakan edisi ke-24 dan yang terbesar dalam sejarah 37 tahun penganjuran kejohanan tersebut.
Berlangsung dari 6 hingga 16 Ogos, acara 11 hari itu menarik 1,400 peluncur air dari 38 gelanggang ais di seluruh rantau Asia-Pasifik untuk menyertai lebih 4,000 acara, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab utama bagi sukan musim sejuk, di kawasan tropika.
Acara ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-30 Sunway Pyramid Ice, sebuah lokasi yang telah lama menjadi pusat pembangunan atlet bertaraf dunia, termasuk wakil ke Sukan Olimpik dan Sukan SEA.
Presiden Institut Luncur Ais Asia (ISIAsia) Harry Janto Leo berkata pertandingan itu, telah berkembang menjadi sebuah acara sambutan besar-besaran bagi sukan tersebut, yang menyaksikan perkembangan luar biasa dalam rantau ini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Skate Asia sentiasa menjadi sebuah perayaan bagi pertandingan ISI, terutamanya di Asia. Namun, dalam tempoh lima tahun lepas, kami telah berkembang dengan sangat pesat menjadi sebuah rantau yang terkemuka, antara penganjuran terbesar yang pernah kami adakan. Sejak 2023, kami telah mengadakan 4,400 acara di Hong Kong,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran acara itu, hari ini.
Harry berkata Sunway Pyramid Ice mempunyai keistimewaan unik sebagai satu-satunya gelanggang yang telah menjadi tuan rumah kepada kejohanan berprestij itu sebanyak tujuh kali, yang menjadi bukti kepada kemudahan bertaraf dunianya.
Beliau berkata lokasi strategik gelanggang tersebut, dengan kemudahan akses kepada penginapan dan pelbagai fasiliti, memberi kelebihan besar kepada peserta antarabangsa yang perlu menguruskan jadual pertandingan yang padat.
Menambah prestij pada edisi tahun ini ialah dengan kehadiran ikon luncur ais Malaysia dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2025 Fang Ze Zeng, yang menyertainya bukan sahaja sebagai alumni tetapi juga sebagai jurulatih.
Ze Zeng yang kini membimbing 13 peluncur ais muda, meluahkan rasa kagumnya terhadap jumlah bakat yang begitu ramai menyertai edisi tahun ini, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Saya rasa bilangan peserta terus bertambah. Ini merupakan antara pertandingan dan acara terbesar yang dianjurkan oleh Skate Asia. Ia sebuah kejohanan yang sangat besar dengan jumlah peserta yang amat tinggi,” katanya.
Beliau berkata menganjurkan kejohanan itu di Malaysia, memberi kelebihan penting kepada peluncur ais tempatan, mengurangkan masalah kewangan serta memberikan mereka pendedahan antarabangsa yang sangat berharga.
Memulakan perjalanannya sendiri di gelanggang itu sewaktu kecil, Ze Zeng berkata rahsia sebenar untuk menjadi peluncur ais yang hebat terletak pada semangat yang tidak berbelah bahagi, yang membolehkan seseorang atlet menemui ketenangan di atas ais.
Pertandingan ini terus menampilkan bakat elit merentasi pelbagai kategori dengan peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Hong Kong, Macau, China, Vietnam dan Amerika Syarikat.
-- BERNAMA