Am 07/08/2026 09:47 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Laporan Julai MPOB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Menjelang Laporan Julai MPOB

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur hari ini selepas para peniaga memperoleh keuntungan menjelang hujung minggu dan pengeluaran laporan bekalan serta permintaan untuk Julai daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Ogos ini.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa memberitahu Bernama bahawa tekanan jualan sepanjang sesi telah meluputkan gelombang minat belian sementara, sehingga menjejaskan kebanyakan kontrak menjelang akhir dagangan.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-31 Julai meningkat sebanyak 7.54 peratus, selaras dengan anggaran UOB Kay Hian iaitu peningkatan berpurata lapan peratus dari Jun.

Tinjauan Bloomberg dan London Stock Exchange Group juga menunjukkan inventori minyak sawit Malaysia pada akhir Julai diramalkan melonjak antara 2.61 juta hingga 2.62 juta tan metrik, naik berbanding 2.54 juta tan metrik yang disaksikan semasa Jun.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM didagangkan lebih rendah berikutan jangkaan stok minyak sawit yang lebih tinggi di Malaysia dan jualan hadapan yang lemah.

Pada penutupan, kontrak November 2026 meningkat RM2 kepada RM4,735 setan, Disember 2026 naik RM10 kepada RM4,785 setan dan Januari 2027 menambah RM14 kepada RM4,829 setan.

Kontrak Ogos 2026 turun RM7 kepada RM4,527 setan, September 2026 susut RM19 kepada RM4,606 setan dan Oktober 2026 jatuh RM9 kepada RM4,677 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 112,427 lot berbanding 85,066 lot yang dicatatkan pada Khamis, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 314,839 kontrak daripada 312,050 kontrak.

 Harga MSM fizikal bagi Selatan Ogos kekal tidak berubah pada RM4,540 setan. 

-- BERNAMA