ARAU, 7 Ogos (Bernama) -- Menyedari kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat penting serta boleh meningkatkan kebolehpasaran kerja, seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bertekad untuk mengikuti pengajian program Sijil Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Arau.
Dr Syamsurina Arshad, 42, yang memperoleh PhD dalam bidang Sains Alam Sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2019 berkata gabungan kelayakan akademik dan kemahiran teknikal mampu melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten serta memenuhi keperluan industri.
“TVET ialah satu bidang yang sangat baik. Tidak kira umur atau latar belakang, jangan malu untuk belajar dan menambah ilmu. Ilmu akademik penting tetapi kemahiran juga sama penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menerima Sijil Teknologi Elektrik pada sidang kesembilan Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 yang berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hari ini.
Pegawai Penyelidik Bahagian Pembangunan dan Biodiversiti, Jabatan Perhutanan Perlis itu berkata beliau memilih bidang elektrik kerana mahu membuktikan bidang yang sering didominasi lelaki itu mampu diceburi wanita.
“Keputusan untuk mengikuti program Sijil Teknologi Elektrik ini adalah bagi menambah kemahiran praktikal selain mencabar diri dalam bidang yang berbeza daripada kepakaran akademik. Bagi saya, ilmu tiada sempadan dan tidak mengenal gelaran atau peringkat akademik.
“Walaupun sudah memiliki PhD, saya percaya proses pembelajaran perlu diteruskan kerana ilmu itu tidak pernah berhenti. Saya mengambil sijil ini untuk manfaat diri sendiri dan berharap ilmu yang diperoleh turut memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Sementara itu, Kolej Komuniti Arau dalam kenyataan sempena istiadat konvokesyen itu memberitahu kejayaan Syamsurina mengangkat martabat pendidikan TVET di peringkat kolej komuniti sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang akademik sedia ada.
Istiadat konvokesyen yang berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos berkenaan menghimpunkan 6,104 graduan politeknik dan kolej komuniti dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
-- BERNAMA