SANDAKAN, 8 Ogos (Bernama) -- Tindakan terhadap pelancong yang menyalahgunakan pas lawatan sosial kini diperketat menerusi operasi penguatkuasaan tegas bagi membanteras kegiatan warga asing yang menjalankan kegiatan ekonomi secara haram di Sabah, khususnya di Semporna.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak berkuasa mengesan segelintir warga asing masuk atas tujuan melancong tetapi melencong dan menjalankan perniagaan termasuk memiliki atau menguasai perkhidmatan pusat peranginan secara perkongsian dengan penduduk tempatan.
Beliau telah mengarahkan agensi di bawah kementeriannya seperti Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk melakukan operasi penguatkuasaan secara bersama dengan semua pihak yang terlibat di kawasan berkenaan seperti pihak berkuasa tempatan.
“Perkara itu salah mengikut Akta Imigresen dan kita ambil tindakan bukan sahaja menerusi Kementerian Dalam Negeri malah melibatkan pihak berkuasa tempatan serta agensi lain menerusi pembukaan kertas siasatan, kompaun mahupun pendakwaan.
“Kita hendak menghantar isyarat bahawa negara kita ini terbuka, mereka boleh masuk tetapi kena ikut undang-undang... kalau masuk sebagai pelancong dengan perniagaan dan kita dapat kesan, kita ambil tindakan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan dan tinjauan keselamatan di pulau-pulau dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bersama-sama delegasi negara luar yang turut dihadiri Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Beliau menjawab soalan mengenai laporan khas Bernama hari ini bertajuk Semporna: Emergence of A Shadow Threat yang mengetengahkan isu pelabur asing yang menguasai rantaian ekonomi pelancongan di daerah berkenaan secara haram mengancam keselamatan dan ekonomi rakyat tempatan.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata keyakinan pelancong antarabangsa terhadap tahap keselamatan dan potensi pelancongan di ESSZone kekal tinggi serta berada pada arah tuju yang betul.
Beliau berkata kawasan ESSZone tahun ini telah mencatat kehadiran sejumlah 129,492 pelancong setakat Jun lepas sekali gus membuktikan persepsi positif dan keyakinan masyarakat luar terhadap persekitaran keselamatan di lokasi berkenaan.
"Saya percaya ketibaan pelancong ke kawasan ESSZone ini cuma menyimpulkan satu perkara iaitu keyakinan masyarakat antarabangsa tentang tahap keselamatan dan potensi pelancongan itu," katanya.
-- BERNAMA