TASEK GELUGOR, 7 Ogos (Bernama) -- Program Jelajah Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 terus menjadi platform mencungkil bakat dan kreativiti murid, di samping membudayakan amalan menabung serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan pendidikan sejak usia muda.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata program AKAR bukan sekadar pertandingan mewarna dan melukis, sebaliknya ruang membina keyakinan diri, merangsang pemikiran kreatif serta memupuk kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar dalam kalangan murid.
Beliau berkata program anjuran Yayasan KRU dengan kerjasama PTPTN, Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu bertepatan dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi muda yang seimbang dari aspek ilmu pengetahuan, kreativiti, sahsiah serta penghayatan nilai-nilai murni.
“Saya percaya setiap anak mempunyai potensi dan keistimewaan tersendiri. Ada yang cemerlang dalam bidang akademik, seni, reka cipta, lukisan dan muzik. Apa yang penting, kita perlu menyediakan ruang, peluang dan sokongan agar potensi mereka dapat dipupuk sejak di bangku sekolah,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah AKAR 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Guru Besar SK Pengkalan Jaya Rohayu Ali Musa, Pengurus Besar Kanan PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Norliza berkata kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan institusi pendidikan menerusi penganjuran program seumpama itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negara.
Beliau berkata Jelajah AKAR 2026 yang berlangsung dari 13 Julai hingga 25 Sept melibatkan 40 sekolah di seluruh negara, dengan lima sekolah di Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi penganjuran, iaitu SK Permatang Tok Mahat, SK Pengkalan Jaya, SK Tasek Gelugor, SK Lahar Yooi dan SK Sungai Gelugor.
Menurut Norliza, PTPTN turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mewarna sempena Bulan Kebangsaan yang akan dikreditkan ke dalam akaun Simpan SSPN Prime masing-masing.
Sepanjang Jelajah AKAR 2026 di Pulau Pinang, beliau berkata PTPTN menyalurkan sumbangan pembukaan akaun Simpan SSPN berjumlah RM48,200 kepada 482 murid daripada lima sekolah yang terlibat, dengan setiap penerima memperoleh RM100 sebagai galakan memulakan tabungan pendidikan sejak usia muda.
“Pendidikan adalah pelaburan yang terbaik untuk masa depan anak-anak, justeru perancangan kewangan yang dimulakan sejak awal amat penting bagi memastikan mereka berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa dibebani kekangan kewangan,” katanya.
Sementara itu, Norliza berkata PTPTN akan terus memperkasa pelbagai inisiatif, termasuk Simpan SSPN bagi membantu masyarakat membuat persediaan kewangan pendidikan, selain memperluas akses pendidikan tinggi menerusi program seperti Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) dan myWaqafPTPTN.
Beliau berharap Jelajah AKAR 2026 akan terus menjadi platform strategik untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid, memperkukuh literasi kewangan serta membudayakan amalan menabung sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
-- BERNAMA