Dunia 07/08/2026 06:00 PM

Victoria Arah Penternak Kurung Unggas Susulan Peningkatan Kes Selesema Burung H5N1

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Victoria Arah Penternak Kurung Unggas Susulan Peningkatan Kes Selesema Burung H5N1
Ilustrasi telur ayam dan tiub ujian "Selesema Burung'' . Foto Reuters

ISLAMABAD, 7 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Negeri Victoria di Australia akan mewajibkan penternak unggas menempatkan ternakan mereka di dalam reban susulan peningkatan berterusan kes influenza burung H5N1, sekali gus menjadi negeri pertama di negara itu yang melaksanakan langkah sedemikian, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Jumaat.

Australian Broadcasting Corporation  (ABC) melaporkan bahawa arahan wajib itu, yang memperluaskan langkah sukarela sedia ada akan dikenakan terhadap sesiapa yang menternak lebih daripada 50 ekor unggas dan pada peringkat awal akan berkuat kuasa selama 14 hari.

Menteri Pertanian Victoria Michaela Settle menyifatkan langkah itu sebagai "tindakan proaktif dan berjaga-jaga" yang bertujuan mengelakkan unggas ternakan daripada bersentuhan dengan hidupan liar yang berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan.

Ketua Pegawai Veterinar Victoria Graeme Cook berkata penemuan kes baharu di Yambuk, Apollo Bay dan Clyde mendorong pihak berkuasa memperkukuh langkah tindak balas ketika virus itu merebak ke kawasan baharu di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Veterinar Australia Beth Cookson berkata pada Jumaat ujian mengesahkan 20 lagi kes positif di Victoria, semuanya melibatkan burung dara laut berjambu besar di kawasan Portland dan Nelson.

Australia kini merekodkan 175 kes H5N1 yang disahkan atau dipercayai positif berdasarkan sampel yang diuji, menurut ABC News.

Pihak berkuasa bagaimanapun memaklumkan tiada jangkitan dikesan dalam unggas ternakan atau sistem pengeluaran pertanian Australia manakala risiko kepada manusia kekal sangat rendah.

Kebimbangan terhadap penularan virus itu turut mendorong Royal Adelaide Show membatalkan pameran burung dan unggas yang dijadual berlangsung bulan depan.

-- BERNAMA-ANADOLU