IPOH, 7 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 100 peserta dan 46 kenderaan menyertai Program Jelajah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) di 12 daerah di Perak yang bermula hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026).
Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Perak Azrul Hasan berkata program berkonsepkan jerayawara atau roadshow itu bagi mendekati rakyat pada peringkat akar umbi secara berpusat, setempat dan berinteraktif di semua daerah.
“Tujuan utama program adalah bagi memperingati sejarah kemerdekaan serta menyemai semangat cinta kepada negara dalam kalangan rakyat selain mengeratkan jalinan dan merapatkan ukhuwah antara jabatan dan agensi kerajaan dengan komuniti akar umbi secara bersemuka,” katanya.
Azrul berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Jelajah 1R1JG di pekarangan Jabatan Penyiaran Malaysia Perak di sini hari ini.
Beliau berkata agihan kit Jalur Gemilang diserahkan kepada wakil komuniti sasaran melibatkan tujuh kluster, iaitu kesihatan, keselamatan, industri, komuniti, rumah ibadat, agensi kerajaan dan sukan.
Selain itu, beliau berkata pelbagai aktiviti fizikal berunsurkan patriotik seperti konvoi berkenderaan, kayuhan merdeka dan larian merdeka turut diadakan bagi memeriahkan siri jelajah tersebut.
Dalam pada itu, Azrul berkata Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama JAPEN Perak menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perak 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM52,500.
Beliau berkata pertandingan itu bertujuan menggalakkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengekspresikan rasa cinta terhadap negara menerusi kreativiti menghias premis masing-masing dengan tema kemerdekaan.
“Pertandingan merangkumi lima kategori, iaitu sekolah menengah dan rendah, pintu gerbang, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan dan swasta serta individu,” katanya.
Azrul berkata tarikh akhir pertandingan pada 20 Ogos manakala pengumuman pemenang pada 31 Ogos dengan juara setiap kategori akan menerima wang tunai RM5,000, tempat kedua RM3,500 dan ketiga RM2,000 berserta sijil dan plak.
Maklumat lanjut dan pertanyaan berhubung pertandingan boleh didapati di Pejabat Penerangan Daerah berhampiran atau laman media sosial rasmi JAPEN Perak.
-- BERNAMA