Ekonomi 07/08/2026 04:38 PM

KWAP Labur RM51 Juta Dalam Pembekal Sehenti Dan Pemilik Jenama Nutraseutikal Melalui Dana Pemacu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KWAP Labur RM51 Juta Dalam Pembekal Sehenti Dan Pemilik Jenama Nutraseutikal Melalui Dana Pemacu

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia pada 2025 untuk membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara melalui Dana Pemacu.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini, Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd melalui pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital, membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

Menurut laporan itu, menerusi pelaburan bersama sebanyak RM 210 juta dalam Fasa 1 untuk membangunkan 9,000 katil, KWAP juga menyokong pertumbuhan Malaysia dengan mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih baik bagi mereka yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM 600 juta," menurut laporan berkenaan.

Laporan itu turut memaklumkan mengenai pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd, dengan 32 syarikat peringkat pertengahan (MTC) disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme manakala 21 MTC lagi disokong melalui Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF memaklumkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Menurutnya langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta dapat dilaburkan semula dalam generasi baharu firma pada peringkat awal, sekali gus membolehkan lebih banyak syarikat berkembang hingga ke peringkat penyenaraian.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting untuk mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 bagi melonjakkan permodalan pasaran kepada RM 5.8-6.3 trilion menjelang 2030 dan sokongan teguh pelabur institusi merupakan antara faktor yang memastikan aliran ini kekal mampan.

Menurutnya GLIC mengurus portfolio yang merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara aktif dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024-2028, yang berpotensi menjana nilai sehingga RM 100 bilion.

Menurut laporan itu, prestasi 2025 melepasi jangkaan dengan mencatatkan pulangan pemegang saham 8.0 peratus.

"Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd, dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia," menurut MOF.

Menurutnya, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio ini melalui tiga pendekatan iaitu dengan menyediakan laluan keluar untuk kitaran modal, memperkukuh kredibiliti bagi pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.

-- BERNAMA