Politik 06/08/2026 11:58 AM

Penjawat Awam Perlu Sentiasa Profesional Berkhidmat Kepada Rakyat - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penjawat Awam Perlu Sentiasa Profesional Berkhidmat Kepada Rakyat - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini.

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Penjawat awam perlu mengekalkan profesionalisme dan tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur politik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata walaupun penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik semasa, mereka tidak boleh terheret dalam politik kepartian sebaliknya perlu memastikan pentadbiran kerajaan terus berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

“Politik mungkin membentuk mandat kerajaan, namun perkhidmatan awam perlu sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata penjawat awam perlu memahami perkembangan politik semasa, namun pada masa sama kekal berkecuali dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik, namun jangan sekali-kali dipengaruhi atau dipolitikkan. Urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat," katanya.

Ahmad Zahid berkata peranan penjawat awam sebagai tonggak pentadbiran negara perlu terus dipertahankan walau apa jua dinamika politik semasa.

“Kita perlu benar-benar memahami konsep ini dengan jelas. Apa juga dinamika politik yang berlaku, peranan penjawat awam tidak boleh diganggu-gugat. 

"Penjawat awam ialah tiang seri kesinambungan negara. Tanggungjawab penjawat awam adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan terus berfungsi, (projek) dilaksanakan, projek bergerak dan perkhidmatan sampai kepada rakyat," katanya.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa beliau akan mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional mengikut undang-undang.

-- BERNAMA