Am 06/08/2026 01:03 PM

Konsep Akal Budi Perlu Diterap Demi Perkukuh Perpaduan Negara, Tadbir Urus Baik - Anuwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Konsep Akal Budi Perlu Diterap Demi Perkukuh Perpaduan Negara, Tadbir Urus Baik - Anuwar

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Konsep akal budi atau keupayaan intelektual dan akhlak mulia  perlu dijadikan asas dalam penggubalan dasar dan tadbir urus negara bagi memperkukuh perpaduan nasional, melahirkan kepimpinan berintegriti serta memastikan pembangunan yang mampan.

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Tan Sri Dr Anuwar Ali berkata akal budi bukan sekadar konsep budaya bersifat abstrak, sebaliknya merupakan falsafah yang menyeluruh, merangkumi kecerdasan intelektual, nilai kemanusiaan, sikap saling menghormati dan keluhuran budi pekerti.

"Pada masa hadapan, kita perlu mengangkat akal budi sebagai lambang aspirasi untuk menyemarakkan perpaduan negara dan keharmonian antara kaum, di samping memperkukuh penghayatannya selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Wisdom Malaysia 2026 edisi kedua di sini hari ini.

Anuwar berkata kekuatan sebenar sesebuah negara bukan hanya bergantung pada prestasi ekonomi atau kemajuan teknologi, sebaliknya ditentukan oleh tahap integriti, akauntabiliti dan nilai etika yang diamalkan oleh pemimpin dalam sektor awam, korporat dan akademik.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemikiran tokoh terdahulu seperti bekas menteri, Datuk Senu Abdul Rahman menerusi karya Revolusi Mental, serta Pendeta Za'ba, memperlihatkan bahawa tradisi pemikiran Melayu sentiasa menghubungkan pembangunan intelektual dengan kesejahteraan masyarakat dan tanggungjawab moral.

Bagi memastikan kemajuan sosioekonomi yang mampan dalam jangka panjang, Anuwar berkata kerangka pembangunan negara, termasuk rancangan Malaysia lima tahun akan datang, perlu mengintegrasikan konsep akal budi secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pengagihan kekayaan saksama, pemerkasaan golongan terpinggir serta amalan pekerjaan yang adil.

"Kita mesti membina keyakinan kukuh terhadap institusi negara. Sebagaimana pelajar menaruh kepercayaan kepada guru dan pensyarah mereka, rakyat juga perlu mempunyai tahap keyakinan sama terhadap pemimpin untuk mempamerkan tadbir urus baik serta menjunjung nilai-nilai bersama demi masa depan negara,” katanya.

Persidangan Wisdom Malaysia 2026 anjuran Kerjaya One PLT menjadi platform kepada pemimpin industri semasa dan bekas pemimpin industri untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta pandangan dengan pemimpin, bakat kepimpinan baharu dan golongan profesional.

Persidangan itu merangkumi sesi perkongsian mengenai kepimpinan, kemahiran membuat penilaian dan kajian kes transformasi, selain sesi soal jawab serta rangkaian kerjasama bagi membolehkan peserta memperoleh pandangan praktikal daripada penceramah.

-- BERNAMA