MOSCOW, 6 Ogos (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa agar usaha menangani wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) dipertingkatkan segera susulan penularannya yang semakin pantas, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurutnya ketika berada di Kinshasa, DRC, beliau telah mengadakan pertemuan dengan organisasi kesihatan serta kemanusiaan yang menyokong usaha tindak balas terhadap Ebola bagi membincangkan cabaran semasa.
"Wabak ini merebak lebih pantas berbanding peningkatan kapasiti tindak balas kita, dengan jumlah kes baharu meningkat dua kali ganda di beberapa kawasan panas hanya dalam tempoh seminggu lalu.
"Kami semua bersetuju yang usaha merangkumi aspek tindak balas dan oleh semua rakan kerjasama perlu dipertingkatkan secara segera dan besar-besaran,” kata Ghebreyesus menerusi platform media sosial X pada Rabu.
Beliau berkata langkah itu termasuk memastikan setiap komuniti yang terjejas menerima bantuan walaupun berdepan cabaran keselamatan dan perpindahan penduduk.
“Kita perlu memperkukuh penyelarasan di bawah kepimpinan kerajaan, memastikan petugas kesihatan mendapat perlindungan, latihan dan sokongan yang diperlukan, serta mempercepat akses kepada rawatan, pemantauan dan pengurusan pengebumian yang selamat serta bermaruah,” katanya.
Pada 17 Mei, WHO mengisytiharkan wabak Ebola di DRC dan Uganda sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Membimbangkan Antarabangsa (PHEIC). WHO turut menilai risiko penularan virus itu di peringkat serantau sebagai tinggi.
Pada Sabtu lepas, WHO memaklumkan bahawa virus Ebola sedang merebak dengan pantas di DRC, menjadikannya wabak terbesar dalam sejarah.
Data terkini Kementerian Kesihatan DRC merekodkan 3,748 kes disahkan dan 1,657 kematian.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI