KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pemain industri disaran memperkukuh aspek keselamatan siber, menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, berkongsi amalan baik serta membangunkan keupayaan digital yang diyakini demi manfaat jangka panjang Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata apabila teknologi digital semakin diterapkan merentas setiap sektor ekonomi, aspek kepercayaan, keselamatan dan daya tahan perlu diperkasakan seiring dengan kemajuan inovasi.
“Apabila semakin banyak organisasi mengguna pakai teknologi digital, kepercayaan akan menjadi sama penting dengan inovasi,” katanya ketika berucap pada majls pelancaran U Mobile Innovation Platform Hub di sini hari ini.
Beliau berkata perniagaan perlu yakin bahawa infrastruktur digital yang menjadi sandaran mereka adalah selamat, menakala pengguna perlu mempunyai keyakinan bahawa data peribadi mereka dilindungi.
Pada masa sama, beliau berkata organisasi perlu mengguna pakai AI secara bertanggungjawab, telus dan beretika.
“Semua ini merupakan asas penting dalam membina ekonomi digital yang berdaya tahan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan siber, meningkatkan daya tahan rangkaian serta menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab dan beretika bagi memastikan kemajuan digital yang mampan serta inklusif.
U Mobile Enterprise Innovation Platform Hub menghimpunkan perusahaan, penyedia teknologi, inovator, ahli akademik dan sektor awam bagi mewujudkan ekosistem kolaboratif yang membolehkan idea diuji, penyelesaian disahkan serta teknologi baharu dikomersialkan dengan lebih pantas.
-- BERNAMA