KAMPAR, 6 Ogos (Bernama) -- Pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak perlu bimbang mengenai peluang pekerjaan selepas tamat pengajian susulan peningkatan pelaburan berteknologi tinggi ke Malaysia, kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Beliau berkata ketika ini permintaan terhadap bakat sains dan teknologi bukan sahaja mencukupi malah melebihi jumlah tenaga kerja yang mampu dilatih bagi mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan.
“Program ini (Festival Minda Malaysia ke-20) adalah antara matlamat mengapa kami mahu menganjurkan program sebegini (kerana) kami ingin memberikan keyakinan kepada pelajar bahawa sekarang memang ada peluang pekerjaan bukan sahaja mencukupi tetapi banyak.
“Keduanya, kami juga ingin memberikan pandangan tentang perkembangan teknologi sebab semua orang bimbang manusia akan digantikan oleh teknologi, AI dan lain-lain. Jadi, kami ingin memberikan pandangan kementerian kepada pelajar dan ini juga antara program jangkauan luar, iaitu kami keluar berjumpa dengan pelajar secara proaktif dan tidak tunggu mereka datang kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Minda Malaysia ke-20 di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Kampar hari ini.
Chang berkata kerajaan juga mahu menarik lebih ramai mahasiswa menceburi bidang sains dan teknologi melalui kerjasama erat antara universiti, industri serta kerajaan bagi memastikan negara mempunyai bakat mencukupi untuk memenuhi keperluan sektor berteknologi tinggi.
“Ini bukan sekadar cakap-cakap kerana apa yang kami lihat sekarang, banyak pelaburan yang masuk ke Malaysia ialah pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi sebab itu kami perlukan lebih ramai bakat sains dan teknologi untuk mengisi kekosongan pekerjaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM92 juta daripada Dana Malaysia Science Endowment (MSE) manakala lima syarikat industri menyumbang RM93 juta, menjadikan keseluruhan pelaburan sebanyak RM185 juta bagi membangunkan kapasiti teknologi pembungkusan termaju negara dalam tempoh dua tahun.
“Ini adalah antara usaha kerajaan supaya industri tidak bergantung 100 peratus kepada kerajaan sebab itu ia dilaksanakan secara padanan, kerajaan mengeluarkan RM92 juta manakala industri menyumbang RM93 juta.
“Bagaimanapun, terdapat cabaran. Pertama, mungkin dana itu tidak mencukupi manakala cabaran kedua ialah membangunkan kapasiti teknologi ini bukan sesuatu yang mudah. Namun, kami yakin sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Beliau berkata inisiatif yang bermula beberapa bulan lepas itu disasarkan mencapai matlamat menjelang 2028 bagi meningkatkan keupayaan Malaysia dalam teknologi pembungkusan termaju, yang menjadi antara komponen penting dalam rantaian nilai industri semikonduktor.
-- BERNAMA