Am 06/08/2026 01:51 PM

Tuntutan LINDUNG 24 Jam Meningkat Lebih Tiga Kali Ganda Pada Julai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tuntutan LINDUNG 24 Jam Meningkat Lebih Tiga Kali Ganda Pada Julai

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Jumlah tuntutan faedah menerusi skim LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meningkat lebih tiga kali ganda pada Julai lepas dengan 2,135 kes direkodkan berbanding 616 kes pada bulan sebelumnya.

PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan itu membuktikan pelaksanaan skim berkenaan adalah langkah tepat ke arah memperluas perlindungan sosial pekerja di luar waktu bekerja.

Menurut kenyataan itu, bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Julai lebih 90 peratus daripada keseluruhan tuntutan telah diluluskan dalam tempoh kurang daripada lima hari melibatkan bayaran faedah berjumlah RM3.45 juta kepada 2,508 penerima.

"Faedah yang dibayar kepada penerima merangkumi Bayaran Ganti Belanja (BGB) Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Orang Tanggungan (FOT), alatan pemulihan dan implan serta lain-lain," menurut PERKESO.

Alatan pemulihan dan implan merekodkan bayaran faedah tertinggi iaitu lebih RM2.5 juta bagi meringankan beban perubatan pencarum selain memastikan pembedahan implan dapat dilaksanakan pada kadar segera.

Selain itu, lebih RM800,000 disalurkan melalui FHUS sebagai gantian pendapatan bagi menjamin kelangsungan hidup pencarum dan ahli keluarga sepanjang tempoh cuti sakit.

Bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Julai 2026 sebanyak 2,751 kes tuntutan dikemukakan kepada PERKESO menerusi skim LINDUNG 24 Jam dengan purata 45 kes sehari.

Secara kumulatif, jumlah bayaran faedah bagi tempoh dua bulan pertama pelaksanaan skim itu mencecah RM4.69 juta termasuk kira-kira RM3.69 juta bagi kos alatan pemulihan dan implan serta lebih RM900,000 bagi FHUS.

Jumlah itu tidak termasuk bayaran faedah jangka panjang yang disalurkan PERKESO kepada waris keluarga dengan jumlah keseluruhan melebihi RM2 juta.

PERKESO memaklumkan peningkatan tuntutan berkenaan mencerminkan keperluan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh bagi membantu pekerja mendapatkan sokongan sewajarnya apabila berdepan risiko kemalangan terutama dari segi kewangan.

"Meskipun LINDUNG 24 Jam kini bersifat sukarela untuk pekerja tempatan, PERKESO menyuarakan harapan agar pencarum mengekalkan jaringan perlindungan asas ini berikutan peningkatan kadar kes kemalangan di luar waktu kerja yang semakin membimbangkan," menurut kenyataan itu.

Skim LINDUNG 24 Jam diwujudkan bagi memastikan pencarum dan keluarga tidak berdepan beban kewangan bersendirian ketika ditimpa musibah selain menjamin akses sokongan pemulihan sewajarnya untuk kembali bekerja seperti sedia kala.

-- BERNAMA