BEIJING, 6 Ogos (Bernama-CMG) -- Pemodenan teknologi menjadi teras kepada wawasan pemodenan ala China.
Tempoh pelaksanaan Rancangan Lima Tahun (FYP) Ke-15 bagi Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China dari 2026 hingga 2030 merupakan fasa kritikal dalam memacu agenda pemerkasaan negara menerusi pembangunan sains dan teknologi.
Tahun ini merupakan tahun pertama pelaksanaan FYP Ke-15, dengan kedudukan teras inovasi teknologi diberikan penekanan menerusi tiga peristiwa “pertama”.
Sesi pembelajaran kolektif pertama Biro Politik pada 2026 memberikan tumpuan kepada industri masa depan, manakala lawatan kerja pertama Setiausaha Agung Xi pada tahun ini diadakan ke Taman Teknologi Yizhuang di Beijing.
Dalam lawatan itu, Xi menekankan kepentingan menyemarakkan semangat berdikari dalam usaha mencapai kemandirian teknologi menerusi mekanisme yang bersepadu.
China turut mengadakan mesyuarat penyelidikan asas buat kali pertama di Shanghai bagi memperkukuh asas inovasi negara itu.
Dalam tiga acara berkaitan teknologi yang berlangsung serentak pada Julai, Xi menyampaikan anugerah kepada penerima Hadiah Teknologi Tertinggi Negara, menggariskan perancangan pembangunan teknologi di bawah FYP Ke-15 serta menyuntik semangat kepada para penyelidik untuk terus mencipta pencapaian cemerlang dalam bidang inovasi.
Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) 2026 turut berlangsung pada bulan yang sama di Shanghai, dengan China mengemukakan cadangan berkaitan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) global.
Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia turut ditubuhkan sempena persidangan berkenaan.
Dengan berbaki sembilan tahun sebelum sasaran pemerkasaan negara menerusi pembangunan teknologi tinggi dicapai pada 2035, China akan terus memberikan tumpuan kepada kemajuan teknologi teras, memperkukuh penyelidikan asas serta memperincikan perancangan pembangunan industri barisan hadapan.
Negara itu juga akan terus memacu pemodenan ala China menerusi pembangunan teknologi bertaraf tinggi.
-- BERNAMA-CMG