SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Peningkatan kes vandalisme dan kecurian komponen di rumah pam di Selangor menyebabkan operasi sistem kawalan banjir di kemudahan berkenaan terganggu, selain mengakibatkan kerajaan negeri menanggung kos baik pulih hingga RM400,000.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata susulan itu kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Selangor berhubung situasi itu bagi memperkukuh langkah penguatkuasaan serta keselamatan.
“Saya telah minta Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan jabatan berkaitan supaya meningkatkan langkah keselamatan dengan penyediaan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya untuk pengukuhan rumah pam ini supaya (kesan) dapat dikurangkan.
“Kita juga meminta bantuan daripada pihak polis di samping meneliti apa lagi kaedah yang boleh digunakan untuk kita memperbaiki keadaan ini,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Jefri Mejan (PN-Ijok) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam meningkat penguatkuasaan bersama pihak polis bagi membendung kerosakan dan kecurian pam untuk mengurangkan insiden banjir berlarutan.
-- BERNAMA