Politik 06/08/2026 12:06 PM

Persaingan Politik Di Negeri Tidak Jejas Kestabilan Kerajaan Persekutuan - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Persaingan Politik Di Negeri Tidak Jejas Kestabilan Kerajaan Persekutuan -  Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah hari ini.

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Persaingan politik di negeri-negeri tidak akan menjejaskan kestabilan di peringkat Persekutuan kerana Kerajaan Perpaduan dibentuk berasaskan persefahaman dan perjanjian yang akan terus kekal sehingga Parlimen dibubarkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkembangan politik susulan pilihan raya negeri, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, tidak akan mengubah hala tuju pentadbiran Kerajaan MADANI mahupun menjejaskan pelaksanaan dasar, program dan projek kerajaan yang dirancang.

"Jadi, selagi tiada pembubaran berlaku, Kerajaan Persekutuan akan terus berfungsi, pentadbiran akan diteruskan dan setiap amanah kepada rakyat akan dilaksanakan seperti biasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata kerjasama dalam kerajaan tidak bermakna parti perlu kehilangan identiti atau prinsip politik masing-masing.

Beliau berkata konsep kerajaan gabungan membentuk kepimpinan negara di Putrajaya dapat difahami menerusi autonomi politik dalam kerajaan gabungan, yang memberi ruang kepada setiap parti menentukan strategi politik sendiri selagi komitmen terhadap perjanjian pembentukan kerajaan terus dipatuhi.

"Setiap parti masih mempunyai ruang untuk menentukan strategi, mempertahankan asas sokongan, dan menawarkan pilihan kepada rakyat selagi komitmen dalam perjanjian pembentukan kerajaan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"Dalam konteks kerajaan pada hari ini, apabila mandat telah diberikan dan kerajaan telah dibentuk, tanggungjawab pentadbiran mesti mengatasi segala perbezaan politik. Mesti ada garis pemisah terhadap perbezaan politik," katanya.

Ahmad Zahid berkata konsep sama turut diamalkan di Australia dan Jepun, apabila parti-parti dalam kerajaan gabungan masih boleh bertanding sesama sendiri di peringkat tertentu, namun terus bekerjasama dalam mentadbir kerajaan di peringkat nasional.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lepas menyaksikan BN bersama Perikatan Nasional (PN) menerajui Kerajaan Negeri Sembilan selepas meraih kemenangan dua pertiga.

Kerajaan Perpaduan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 apabila tiada mana-mana gabungan politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kerajaan itu dibentuk hasil kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi terbanyak, bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

-- BERNAMA