Am 05/08/2026 12:57 PM

Pelajar Kolej Disyaki Terlibat Kes Bayi Maut Disambung Reman Hingga Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelajar Kolej Disyaki Terlibat Kes Bayi Maut Disambung Reman Hingga Esok
Gambar hiasan.

KLUANG, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki sebuah kolej di sini, disambung reman selama satu hari hingga esok berhubung kes bayi perempuan maut yang ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, di sini pada 29 Julai lepas.

Perintah reman terhadap pelajar berumur 19 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman di Mahkamah Majistret Kluang untuk pihak polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Sebelum itu, pelajar terbabit telah ditahan reman selama tujuh hari bermula dari 30 Julai hingga hari ini dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 315 Kanun Keseksaan.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata polis menahan pasangan kekasih yang juga pelajar kolej, masing-masing berumur 19 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 1 tengah hari berhubung seorang pelajar dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) kerana melahirkan anak.

Ab Rahaman berkata berdasarkan siasatan, bayi itu dijumpai oleh tenaga pengajar kolej berkenaan, dan hasil pemeriksaan lanjut di HEBHK mendapati terdapat seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar perempuan berkenaan yang kemudiannya selamat dilahirkan.

-- BERNAMA